redzuan.muharam@hmetro.com.my
Alor Setar: “Dulu saya fikir tiada wanita mahu bersuamikan lelaki lumpuh seperti saya. Tapi syukur kerana Allah SWT jodohkan dengan insan yang sanggup terima keadaan saya dengan hati terbuka,” kata Mohammad Hafizi Hassan, 39, orang kurang upaya (OKU) fizikal akibat kecederaan tulang belakang (SCI) yang mengahwini Norzrina Mohamed, 52, 3 April lalu.
Biarpun usia mereka berbeza 13 tahun, Mohammad Hafizi dari Kampung Kepala Parit Luar, Simpang Empat di sini, tidak melihat ia sebagai halangan memimpin isteri yang dikurniakan tujuh anak hasil perkahwinan terdahulu.
“Saya berkenalan dengan isteri di TikTok selepas dia selalu ikuti sesi siaran langsung saya. Sejak itu, kami berkenalan kemudian berhubung hingga jadi serasi dan berputik rasa cinta.
“Isteri dan saya boleh terima satu sama lain, keluarga pun restu jadi kami sepakat halalkan hubungan dengan berkahwin pada Aidilfitri lalu,” katanya.
Menurut Mohammad Hafizi, dia tinggal bersama ibu bapa, namun selepas berumah tangga, isteri yang membantu menjaga dan menguruskannya.
“Saya jadi begini sejak di tingkatan tiga selepas dilanggar kereta ketika menunggang motosikal dalam perjalanan mengambil anak saudara.
“Kemalangan itu menyebabkan saya lumpuh paras dada ke bawah dan perlu guna kerusi roda,” katanya.
Di sebalik ujian ditempuh, Mohammad Hafizi syukur tidak berseorangan kerana sentiasa dapat sokongan keluarga untuk terus kuat melalui hari mencabar.
“Syukur juga kerana saya sihat, boleh makan dan minum walaupun dalam keadaan begini.
“Saya tak minta banyak cuma kesempatan membahagiakan emak, ayah, isteri dan tujuh anak tiri,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Norzrina berkata, dia tidak sangka berkahwin lagi selepas berpisah dengan bekas suami tujuh tahun lalu.
Bagaimanapun, Norzrina akur dengan takdir Ilahi yang menetapkannya berkahwin lelaki istimewa dan jauh lebih muda.
“Saya tak kisah jarak umur pun dan sebab itu terima suami kerana nampak dia ada ciri saya mahu.
“Soal keadaan fizikalnya pun tak ada masalah kerana saya dapat biasakan diri dengan rutin harian suami yang perlu dibantu untuk menguruskan diri dan makan minumnya.
“Sebagai isteri, saya terima suami dengan sepenuh hati begitu juga dia. Niat saya berkahwin pun nak jaga suami dan daripada awal rasa kasihan serta cuba letak diri di tempatnya,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 112156447306 atas nama Norzrina Mohamed.
© New Straits Times Press (M) Bhd




