Terima ugutan, Ketua Polis Kelantan tidak gentar

Terima ugutan, Ketua Polis Kelantan tidak gentar

KOTA BHARU: Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat menegaskan beliau tidak gentar dengan ugutan yang diterima menerusi contengan menggunakan dakwat merah pada dinding Lapang Sasar Polis Kontinjen Kelantan di Gunong, Bachok pada
22 Disember lalu.

Beliau tidak menolak kemungkinan ugutan itu dilakukan oleh sindiket yang terkesan dengan ketegasan Polis Kelantan dalam membendung jenayah di negeri ini.

“Kita berjihad buat apa nak takut. Saya tidak menolak perkara tersebut dilakukan kerana terasa tercabar dengan tindakan tegas Polis Kelantan dalam memerangi jenayah di negeri ini melibatkan sindiket along dan sebagainya.

“Berpandukan kepada tulisan pada dinding dan ayat yang digunakan, saya tidak menolak ianya dilakukan oleh sindiket serta sudah dirancang lebih awal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan.

Katanya, Polis Kelantan sedang mengenal pasti pasti dalang sebenar disebalik kejadian ini.

“Saya harap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini supaya tampil membantu pihak polis,” ujarnya.

Terdahulu tular di media sosial hari ini beberapa keping gambar berbau ugutan kepada Mohd. Yusoff menerusi contengan di Lapang Sasar Polis Kontinjen Kelantan di Gunong.-UTUSAN

Scroll to Top