Teringat detik bersama Cik Man, Issey sifatkan arwah seniman yang ceria

Teringat detik bersama Cik Man, Issey sifatkan arwah seniman yang ceria

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyampai radio dan pelakon, Issey Fazlisham berasa sebak dan luluh hati sebaik mendapat khabar duka mengenai ‘pemergian’ pelakon veteran Allahyarham Kamarool Yusoff atau lebih dikenali Cik Man, 68.

Issey atau nama sebenar Fazlisham Mat Hussin, 39, yang berada luar negara, berkata dia terkejut apabila menerima berita sedih itu yang disampaikan oleh anak arwah, Fakhrul Aliff menerusi kiriman mesej di WhatsApp.

“Allahuakbar, khabar sedih ini dapat tahu dari anaknya sendiri, Aliff, petang semalam. Tetapi, saya berada di Bandung, Indonesia kerana ada urusan di sana. Rasa memang sebak dan ralat.

“Luluhnya rasa (hati). Allahyarham adalah seniman yang saya sayang, yang rapat dengan kami macam abang sendiri sudah pergi meninggalkan kami.

“Terlalu banyak kisah kita abang. Dari Sebuah Piala Seekor Kambing, Suffiyah, Pengembaraan Jason Murad, Projek Yaya Empire, Perang Nasi Dagang dan banyak lagi,” ujarnya pada hantaran dimuatnaik di Instagram (IG) menggamit kenangan.

Issey berkata rentetan puluhan projek lakonan mereka bersama termasuk dalam ‘podcast’, dia berasa sangat gembira dan seronok ketika berada di sisi Cik Man.

Jelasnya, mana-mana yang ada Cik Man pasti suasana menjadi sangat ceria dan selalu riuh gembira, namun kini lelaki itu ‘sudah tiada’ buat selamanya dan akan sentiasa diingati serta dirindui.

Terdahulu, arwah Cik Man dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung jam 5.15 petang semalam di Hospital Tanah Merah, Kelantan dan dia juga ditidurkan pada pagi Subuh kerana kesihatannya yang teruk.

Allahyarham Cik Man yang sangat dikenali dengan watak Farouk Gagak Hitam dalam filem Gila-Gila Remaja pada 1986 selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gual Ipoh, Tanah Merah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top