Teringin ada 'peneman' selepas 15 tahun hidup solo

Teringin ada 'peneman' selepas 15 tahun hidup solo

norhayati_nordin@hmetro.com.my

MULA berlakon sejak 2005, nama Wan Sharmila Wan Muhamed, 45, atau mesra disapa Lala pasti tidak asing dalam kalangan penggiat seni tempatan. Namun, seiring peredaran waktu, maka perubahan berlaku.

Tampil bertudung dengan personaliti menawan seorang muslimah, Wan Sharmila kini boleh dikatakan semakin menyepi apabila kurang muncul dalam drama televisyen dan perkara itu tidak dinafikannya.

Berbual dengan pelakon drama Kisah Kaisara dan 7 Hari Mencintaiku ini, Lala memaklumkan dia tidak ‘bersara’ daripada lakonan, namun imej diri yang sudah berubah membuatnya sangat teliti dalam memilih tawaran.

“Saya masih lagi ingin berlakon, tetapi perlu memilih tawaran sesuai. Ia juga harus mengambil kira daripada pelbagai aspek seiring dengan imej saya yang sudah menutup aurat ketika ini.

“Kalau diikutkan tawaran berlakon itu masih diterima, namun ada kala hati saya berat untuk memberi persetujuan kerana Allah sudah mengaturkan kepada cabang rezeki yang lain.

“Bagaimanapun, tidak bermakna saya sudah tak mahu berlakon lagi sekarang. Tetapi, saya selesa mengikut sahaja apa aturan Allah kepada saya kerana Dia pemberi rezeki,” katanya.

Kata Wan Sharmila, tidak dinafikan sudah dua tahun dia tidak muncul dalam drama di televisyen, namun rezeki membintangi drama di radio tetap ada, termasuk menjadi penyampai radio undangan.

“Sekiranya ada orang yang bertanya kepada saya apa kerja dilakukan sekarang, jawapannya mudah iaitu saya buat apa sahaja kerja yang sudah Allah rezekikan untuk saya.

“Alhamdulillah, macam sekarang ini saya mendapat peluang untuk mempersiapkan diri sebagai seorang mutawifah. Saya kini dalam proses belajar dan menyantuni jemaah yang dibawa ke Tanah Suci.

“Walaupun sebelum ini saya adalah seorang pelakon, tetapi bila berpeluang berlatih untuk menjadi mutawifah, saya adalah pekerja biasa yang baharu. Wan Sharmila ini bukan lagi artis.

“Saya perlu lebih awal dalam menguruskan pelbagai perkara sebab itu tanggungjawab digalas. Tak macam dulu lagi, saya bangun dari tidur dan bersiap-siap pergi ke set shooting,” katanya.

Menurut wanita asal Johor ini, dia hanya mampu bersyukur dengan rezeki dikurniakan Allah dan berhasrat juga agar dipertemukan jodoh baharu selepas 15 tahun menjalani hidup solo.

Katanya, selepas bercerai dulu, dia belum bertemu calon baharu hingga ada juga terfikir soal jodoh sekali gus mempunyai teman hidup pada usia yang sudah meningkat ini.

“Teringinlah nak ada peneman macam orang lain. Bahkan kalau saya menghadiri majlis perkahwinan kawan-kawan, mesti ada juga yang bertanya bila lagi hendak naik pelamin?

“Saya tak ada jawapan kerana calon pun memang tidak ada. Saya mohon doa yang baik-baik sahaja sebab mana tahu suatu hari nanti bertemu dengan seseorang sebagai jodoh.

“Ada juga kawan-kawan yang cadangkan agar saya rajin-rajin menghadiri majlis (kahwin) orang supaya terjangkit juga nanti. Tapi setakat ini nampaknya tak terjangkit pun, masih tak ada apa-apa,” katanya.

Sebelum ini, Wan Sharmila pernah mendirikan rumah tangga dengan penerbit drama TV, Fazli Baharom pada 2007 tetapi perkahwinan itu tidak kekal dan mereka bercerai pada 23 Oktober 2009.

Turut aktif sebagai aktivis kemanusiaan, Wan Sharmila yang ditanya pandangannya terhadap kerjaya lain seperti penyampai radio, dia memaklumkan tidak akan menolak sekiranya ada peluang.

“Saya pernah diundang ke konti radio Zayan dan IKIMfm sebagai tetamu. Sebenarnya seronok juga bila tengok cara penyampai radio bekerja melayan pendengar dan saya ada jiwa itu.

“Jadi, kalau saya dilamar menjadi penyampai radio boleh juga mencubanya dan takkan menolak. Ini kerana, dua stesen radio itu rasanya memang kena dengan jiwa saya berserta penampilan diri,” katanya.

Dijangka berada di Makkah selama 12 hari kerana mengikuti perjalanan umrah bersama 30 jemaah, Wan Sharmila berharap Allah SWT sentiasa melindungi dirinya agar kekal istiqamah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top