Anak kepada usahawan selebriti ternama Datuk Seri Aliff Syukri, Ammar Ahyan, mendedahkan minatnya terhadap dunia kepimpinan mula tumbuh sejak zaman persekolahan.
Kata Ammar, kecenderungan itu mula dirasai apabila dia mengikuti subjek Sejarah semasa berada di Tingkatan Dua yang seterusnya menyemarakkan keinginan untuk menjadi seorang pemimpin.
“Sejujurnya, saya mula minat nak jadi pemimpin selepas ambil mata pelajaran masa Tingkatan Dua. Ketika itu, saya dah mula nampak betapa mencabarnya tugas seorang ketua.
“Inspirasi saya sekarang ni pun ayah bapa sendiri yang menjalankan pernigaan dan mengetuai ramai pekerja. Saya nampak sendiri susahnya jadi ketua, jadi pemimpin,” katanya.
Dalam pada itu, Ammar memaklumkan bapanya turut bersetuju dengan pendiriannya itu.
“Bapa saya pun cakap perkara yang sama. Katanya, sebelum nak jadi ahli politik atau pemimpin, jadilah orang yang berjaya dahulu.
“Saya ada juga cadang nak masuk ‘pemuda-pemuda’ ni, tapi saya perasan yang program dan aktiviti tu selalunya tak dibayar.
“Jadi saya rasa lebih baik saya guna masa saya sekarang untuk cari duit dulu, bina kewangan sendiri. Sebab sebelum kita bantu orang, kita kena bantu diri sendiri dulu,” jelasnya.
Anak sulung kepada pasangan selebriti dan usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Nur Shahida ini semakin mencuri perhatian ramai.
Mewarisi ketokohan dan aura bapanya, Ammar mula dikenali bukan sahaja kerana status keluarganya, tetapi juga menerusi penampilannya di media sosial yang matang dan sopan santun.