Terjatuh Di Kawasan Rail, Lelaki OKU Buta Maut Dilanggar LRT Di Stesen Titiwangsa

Terjatuh Di Kawasan Rail, Lelaki OKU Buta Maut Dilanggar LRT Di Stesen Titiwangsa

Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang buta ditemui meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke landasan di stesen transit aliran ringan (LRT) Star Titiwangsa, di Kuala Lumpur, hari ini.

Pusat Panggilan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGOKL) menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS-999 pada jam 8.38 pagi yang memaklumkan mengenai penemuan mayat di bawah rel kereta api.

Komander Operasi, Fadil Hesam Mohd, berkata pasukan kecemasan segera mengarahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul serta Balai Bantuan BBP Titiwangsa ke lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa ditemukan di bawah landasan kereta api dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh ke rel sebelum dilanggar oleh LRT yang melalui laluan berkenaan.

“Kehilangan keseimbangan dipercayai menjadi punca mangsa terjatuh tanpa disedari oleh pemandu tren LRT Star,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa proses pengalihan mayat sedang dijalankan dengan teliti oleh pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan kelancaran penyiasatan.

“Sepanjang operasi ini berlangsung, semua langkah keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata pihak polis menerima laporan mengenai insiden itu pada jam 8.05 pagi, sementara kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 7.45 pagi.

“Mangsa, seorang lelaki OKU buta, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan identitinya masih belum dikenal pasti,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Scroll to Top