Terjebak dadah seawal 12 tahun, kini bantu penagih lain pulih

Terjebak dadah seawal 12 tahun, kini bantu penagih lain pulih

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pergolakan dalam keluarga mendorong seorang bekas penagih dadah terjebak dengan bahan terlarang itu seawal usia 12 tahun.

Bagaimanapun, Muhammad Hafiz Azri Zahari, 38, bertuah apabila diberi peluang berkhidmat dalam Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi membimbing insan sepertinya untuk berubah.

Menceritakan pengalamannya, Muhammad Hafiz berkata, dia mula terjebak dengan penyalahgunaan dadah selepas lari dari rumah akibat masalah keluarga sebelum merempat di bawah jambatan.

“Ketika itu, saya kerap ponteng sekolah. Apabila ada masalah keluarga, saya lari dari rumah dan duduk bawah jambatan serta pernah bekerja di kedai makan.

“Dari situ, saya mula berkenalan dengan pelbagai jenis orang sebelum terjebak mengambil dadah seawal usia 12 tahun. Ketika itu jiwa rasa memberontak, jadi lebih senang terpengaruh.

“Mula-mula terjebak dengan dadah jenis morfin, saya dapat bekalan secara percuma. Namun, lama-kelamaan, saya terjebak dengan dadah lain seperti syabu, ganja dan ekstasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ziarah Sahur Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Rumah Perantaraan AADK, Kampung Baru, di sini, tengah malam tadi.

Turut hadir dalam program itu ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) AADK berkata, iltizam untuk dirinya berubah berlaku apabila menempuh pelbagai cabaran selepas menjalani rawatan di pusat pemulihan dan penjara.

Menurutnya, PRS memainkan peranan penting untuk berkongsi pengalaman selain latihan dengan silibus tertentu bagi dikongsikan kepada klien AADK.

Sementara itu, seorang lagi bekas penagih dadah, Muhammad Zainullah Asnawi, 42, berkata dirinya terjebak dengan bahan terlarang itu sejak berusia 17 tahun yang turut mendorongnya terbabit dengan kes jenayah.

Katanya, pergolakan keluarga turut menjadi punca dirinya rasa terpinggir hingga tersalah pilih rakan dan terjebak dengan pelbagai jenis dadah.

“Selain ambil dadah, saya juga pernah minum alkohol sebelum ini. Dianggarkan 12 ke 13 jenis dadah saya pernah ambil dan dadah paling lama yang saya terjebak ialah heroin.

“Ketika itu, saya juga terbabit dengan perlakuan jenayah seperti ragut, pecah rumah, samun dan curi motosikal yang mendatangkan duit segera untuk beli dadah,” katanya.

Beliau yang juga berkhidmat sebagai PRS AADK turut mendedahkan dirinya tiga kali masuk penjara atas dua kesalahan dadah serta satu kes ragut.

“Perkara yang mendorong saya untuk berubah adalah hasrat untuk berhenti terbabit dengan kes jenayah. Saya sedar untuk berhenti terbabit dengan jenayah, saya kena berhenti ambil dadah.

“Saya berharap mana-mana individu yang terjebak dengan dadah tampil untuk menyuarakan masalah yang dialami dan menjalani pemulihan dengan AADK supaya bebas daripada penyalahgunaan dadah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top