harisfadli@hmetro.com.my
Puchong: Seorang pendatang asing tanpa izin (Pati) nekad terjun ke dalam sebuah parit dan bermandi lumpur bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Itu antara drama yang sempat dirakam wartawan Harian Metro yang mengikuti operasi penguatkuasaan JIM Selangor di sekitar Kampung Sri Langkas, di sini, hari ini.
Tindakan nekad lelaki warga Pakistan itu bagaimanapun sia-sia dan dia ditangkap dalam keadaan basah serta berlumuran lumpur.
Dalam operasi bermula 1.30 tengah hari itu, seramai 21 Pati ditahan menerusi serbuan ke atas empat premis berasingan sekitar Puchong, di sini.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Aminus Kamarudin berkata, Pati terbabit ditahan kerana didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Pada serbuan pertama sekitar Kampung Sri Langkas, seramai lima wanita warga Indonesia ditahan sementara premis kedua membabitkan sebuah kedai makan tidak jauh dari lokasi pertama.
“Seramai lapan lelaki warga Pakistan ditahan di premis kedua iaitu sebuah kedai makan,” katanya hari ini.
Menurutnya, enam lelaki Pakistan ditahan menerusi serbuan ketiga di sebuah restoran di Jalan Jurutera, Kampung Sri Aman Tengah, di sini.
Katanya, serbuan terakhir membabitkan sebuah bengkel kereta di Jalan Utama 2/20, Taman Perindustrian Puchong Utama di mana dua pekerja warga Myanmar ditahan.
Kesemua individu ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Selangor, di Shah Alam bagi proses semakan dan pengesahan dokumen berkaitan.
Keseluruhannya 21 Pati ditahan terdiri daripada lelaki seramai 14 warga Pakistan dan dua warga Myanmar manakala wanita seramai lima warga Indonesia.
Difahamkan serbuan itu dijalankan hasil risikan pihak JIM Selangor membabitkan lokasi yang diadukan oleh orang awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd