Terkilan tidak sempat hantar nasi ayam masak kicap untuk adik – Kakak mangsa

am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Nasi berlauk ayam masak kicap yang disiapkan untuk dihantar kepada adiknya petang tadi tidak sempat dinikmati selepas lelaki itu maut dalam kebakaran rumahnya di Kampung Lingai, di sini.

Lebih memilukan, kakaknya, Azizah Mohd, 62, ketika itu sedang bersiap untuk menghantar makanan seperti rutin harian sejak lebih setahun lalu sebelum dikejutkan dengan berita rumah adiknya itu terbakar.

“Setiap hari jam 4 petang saya akan hantar makanan untuk adik. Tadi saya tengah bersiap untuk hantar nasi dan lauk ayam masak kicap.

“Tiba-tiba jiran beritahu rumah adik terbakar. Saya terus bergegas ke sana,” katanya ketika ditemui.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, Zakaria Mohd, 60, ditemukan maut selepas dipercayai terperangkap dalam rumahnya yang terbakar.

Azizah berkata, selain menghantar makanan, dia turut memandikan, menguruskan pakaian dan menjaga keperluan harian adiknya yang tinggal seorang diri.

Katanya, rumahnya terletak kira-kira 300 meter dari kediaman arwah dan dia biasanya akan meluangkan masa kira-kira tiga jam bersama adiknya sebelum pulang sekitar jam 7 malam.

“Setiap kali ke rumah arwah, sebelum pulang kami akan bermaafan.

“Tetapi hari ini kami tidak sempat bermaafan. Saya juga terkilan kerana tidak sempat membawa makanan untuk arwah,” katanya.

Menurut Azizah, makanan untuk arwah pada waktu pagi pula dihantar adik bongsunya, Harun, 54, kira-kira jam 7.30 pagi setiap hari.

Sementara itu, Harun berkata, ketika menghantar makanan kepada abangnya pagi tadi, Zakaria kelihatan seperti biasa dan menunggunya di muka pintu rumah.

“Seperti biasa, saya akan menemani abang kira-kira 10 minit sebelum beredar untuk ke tempat kerja di sebuah kedai menjual barangan dan peralatan pertukangan di Kampung Telaga Papan, di sini.

“Ketika itu saya tidak nampak sebarang perubahan pelik pada abang,” katanya.

Harun berkata, Zakaria tidak pernah berkahwin dan tinggal seorang diri menyebabkan mereka adik-beradik mengambil tanggungjawab menghantar makanan serta memastikan keperluannya terurus.

Katanya, rumah arwah juga tidak banyak dilengkapi peralatan elektrik atau perkakas dapur, malah tidak mempunyai televisyen.

“Kami pun tidak tahu kebakaran berpunca daripada mana. Sistem pendawaian rumah juga baharu diganti kira-kira setahun lalu.

“Kejadian ini sangat memberi kesan kepada kami sekeluarga kerana kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata.

“Bagaimanapun, kami adik-beradik reda dengan kejadian yang berlaku,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top