khairil.ashraf@hmetro.com.my
Sepang: Terkini seramai 16 rakyat Malaysia yang menaiki sembilan kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 telah ditahan oleh tentera Israel setakat jam 8 malam ini.
Mereka yang ditahan itu adalah Norazman Ishak (Abodes), Abdul Samad Selamat (Bianca ITA), Naufa Azhari (Bianca ITA), Muhammad Zaid Abdul Karim (Gotico), Mohammad Farizzal Rostam (Gotico), Osman Zolkifli (Themis), Hazwan Hazim Dermawan (Themis) dan Mohd Shamsir Mohd Isa (Themis).
Turut ditahan, Zainal Rashid Ahmad (Amanda), Mohammad Shazly Mohammad Shees (Cactus), Tengku Ahmad Taufik Tengku Nor Zahari (Cactus), S Patmanathan (Furleto), Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar (Furleto), Syakirin Muhamed Senin (Furleto), Muhamad Muhsin Zaidi (Isobella) dan Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman (Josef).
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kesemua mereka ditahan oleh ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.
“Sehingga jam 8 malam waktu Malaysia, sebanyak 18 kapal flotilla melibatkan hampir 150 orang aktivis kemanusiaan telah dipintas oleh pihak tentera laut Israel (IOF).
“SNCC mengesahkan 18 kapal flotilla yang baharu dipintas dan ditahan pihak IOF ialah Cactus, Zio Faster, Holy Blue, Ferluto, Kyriakos, Amanda, Blue Toys, Barbaros, Isobella, Tenaz (Freedom Flotilla), Vincovolo, Bianca ITA, Gotico, Abodes, Themis, Josef dan Sadabad,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di SNCC, hari ini.
Mengulas lanjut, Sani turut berpandangan kesemua peserta misi GSF 2.0 kali ini berkemungkinan akan ditempatkan di penjara atas kapal disediakan oleh tentera Israel sebelum dibebaskan.
Katanya, ia berbeza dengan misi sebelum ini dengan peserta dibawa ke darat, sebelum dilepaskan dalam tempoh 24 jam.
“Ini disebabkan (sebelum ini) mereka nak tunjuk dia baik di darat. Sampai saja 24 jam dia kena lepaskan (peserta).
“(Tetapi kali ini) dia tukar undang-undang, tetapi helah dia, dia letakkan peserta di atas kapal pula.
“Di atas kapal ini, mungkin dia akan tahan (peserta selama) dua hari,” katanya.
Bagaimanapun Sani beranggapan, sekiranya tentera Isrel itu menahan lebih lama peserta GSF 2.0, ia akan berdepan dengan kemarahan dunia.
“Lagi lama dia tahan, lagi dia berdepan dengan kemarahan dunia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




