Terlalu bagus bekerja pun jadi punca tekanan!

Terlalu bagus bekerja pun jadi punca tekanan!

Dalam tuntutan dunia pekerjaan yang semakin kompetitif dan rencam, secara tidak langsung mencetuskan berlaku tekanan di tempat kerja. Jika dibiarkan dan diabaikan, tekanan di tempat kerja boleh membawa kepada isu masalah kesihatan mental yang lebih berat. Semua orang termasuk penulis secara umumnya mempunyai risiko untuk mengalami masalah kesihatan mental kerana tekanan di tempat kerja adalah isu kronik yang sering diperkatakan dalam setiap organisasi atau majikan.

Masalah tekanan perlu diatasi dengan sebaik-baiknya kerana ia boleh mempengaruhi prestasi dan produktiviti sesebuah organisasi untuk jangka masa pendek atau panjang. Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tekanan di tempat kerja boleh menjadi antara punca masalah kesihatan manusia. Jika di Malaysia, menurut Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), pada 2018 terdapat lebih 21,000 pekerja bersara awal disebabkan masalah tekanan di tempat kerja dan ia menunjukkan corak peningkatan selepas itu. Pada 2022 pula, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menganggarkan lebih 10,000 guru membuat pilihan bersara awal setiap tahun.

Bersara awal atau berhenti kerja ini sebenarnya berlaku di semua sektor pekerjaan, tidak terhad kepada penjawat awam, malah di pihak swasta turut ada tempiasnya kerana tekanan di tempat kerja adalah sesuatu yang nyata. Berbicara mengenai tekanan di tempat kerja, ia berpunca daripada pelbagai faktor dan salah satu daripadanya mungkin berbunyi agak janggal, tetapi itulah kebenarannya – faktornya kerana pekerja itu terlalu bagus dalam bekerja!

Nampak seperti lucu, tetapi ironinya menjadi terlalu bagus di tempat sehingga boleh melaksanakan pelbagai tugas pada satu masa atau bahasa lainnya pekerja yang perform ibarat terkena sumpahan di tempat kerja. Menjadi seorang pekerja yang multitasking turut memberi dampak yang ‘tidak bagus’ untuk jangka masa panjang khususnya kepada pekerja berkenaan kerana ia akan menjadi punca berlaku tekanan di tempat kerja.

Multitasking adalah istilah yang sudah tidak asing lagi di dalam dunia pekerjaan dan hakikatnya tidak semua pekerja mempunyai ‘bakat’ ini kerana kebolehan melakukan beberapa pekerjaan pada satu waktu sama sememangnya sesuatu yang amat efektif dan meningkatkan produktiviti. Tidak dinafikan multitasking adalah antara kemahiran yang penting untuk memasuki dunia pekerjaan selain faktor pengalaman dan kemahiran komunikasi sebagai nilai tambah kepada individu berkenaan untuk memancing bakal majikan mereka.

Bagi majikan, memiliki pekerja yang multitasking ini satu rahmat kerana pekerja ini boleh diharap untuk menyelesaikan pelbagai tugasan yang diberikan dalam tempoh ditetapkan. Namun apabila sudah dikenali dan diiktiraf oleh majikan dan rakan sekerja sebagai seorang yang multitasking, di sinilah secara tidak sedar bermulanya bibit buli di tempat kerja dan mengambil kesempatan ke atas individu berkenaan oleh rakan sekerja, khususnya yang lebih senior sehingga pekerja ini mengalami depresi.

Ia menjadi lebih kritikal apabila ketua atau penyelia sendiri turut menjadi pembuli kerana mengarahkan kerja yang sepatutnya diselesaikan oleh pekerja lain untuk dilambakkan kepada pekerja ini atas alasan kerja akan cepat siap. Mengambil sikap sambil lewa dan tidak peduli kepada isu pekerja multitasking ini sebenarnya akan merugikan majikan sendiri dalam aspek berikut:

  • Kualiti pekerja menurun Tidak dapat beri perhatian sepenuhnya dalam sesuatu kerja dan meningkatkan risiko kesalahan dan lewat.

  • Meningkatkan tahap stres Terlalu banyak tugas sekali gus akan meningkatkan stres dan tekanan kerja seseorang yang seterusnya mempengaruhi kesihatan mental serta diri.

  • Penurunan produktiviti Terlalu banyak tugas perlu dibereskan pada masa sama akan menjejaskan produktiviti kerana perlu membahagikan perhatian dan waktu untuk pelbagai tugas pada satu masa menjadi ia tidak efisien.

  • Meningkatkan risiko terhadap keselamatan Multitasking dapat meningkatkan risiko keselamatan di tempat kerja kerana seseorang tidak dapat memberikan perhatian penuh pada tugas yang sedang dilakukan. Misalnya, seorang operator mesin yang melakukan beberapa tugas lain mungkin tidak dapat memberi perhatian (cuai) terhadap bahaya di sekitar ruang kerja yang boleh mendatangkan risiko kemalangan.

  • Menurunkan kreativiti Terlalu banyak tugas, sekali gus dapat menurunkan daya kreativiti seorang pekerja kerana tidak dapat memberikan perhatian penuh pada mencari idea dan penyelesaian yang lebih kreatif. Hal ini dapat membatasi kemampuan seseorang untuk berinovasi dan menciptakan penyelesaian baharu untuk masalah yang kompleks.

    Majikan perlu mainkan peranan sebaik-baiknya mengurus pekerja yang mempunyai kemampuan multitasking kerana mereka aset sumber manusia yang berharga. Keberadaan, kemampuan dan sumbangan yang mereka berikan sebaik-baiknya dihargai dan diraikan dengan insentif berpadanan. Pada masa yang sama pekerja juga perlu meningkatkan kualiti dan nilai tambah pada diri masing-masing.

    Penulis Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan Setiausaha Badan Kebajikan Kakitangan Usim

    © New Straits Times Press (M) Bhd

  • Scroll to Top