Ternakan berkeliaran: Tag pengenalan wajib, pemilik cuai berdepan tindakan

Ternakan berkeliaran: Tag pengenalan wajib, pemilik cuai berdepan tindakan

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Isu haiwan ternakan yang dilepaskan bebas sehingga berkeliaran di jalan raya bukan perkara baharu, malah pelbagai cadangan sudah dikemukakan bagi menangani masalah itu termasuk mewajibkan setiap haiwan ternakan dipasang tag pengenalan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, pemasangan tag pengenalan dapat memudahkan pihak berkuasa mengesan pemilik ternakan yang berkeliaran susulan peningkatan kes kemalangan membabitkan haiwan berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan Protokol Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia berkaitan peraturan tanda pengenalan melalui kaedah tag, tatu atau tag kaki (leg tag), setiap ternakan berdaftar sememangnya diwajibkan mempunyai tanda pengenalan.

Bagaimanapun, katanya, masalah timbul apabila segelintir pemilik ternakan kurang kesedaran dan mengambil mudah pematuhan peraturan, selain mengamalkan sistem penternakan secara lepas bebas.

“Dalam istilah penternakan, ternakan yang dilepaskan sehingga berkeliaran tidak dianggap sebagai satu sistem penternakan.

“Ternakan berkenaan dikategorikan sebagai haiwan berkeliaran yang boleh menimbulkan pelbagai isu dan masalah. Dalam erti kata lain, haiwan yang dilepaskan bebas sebenarnya bukan haiwan ternakan yang diuruskan mengikut kaedah penternakan sepatutnya,” katanya.

Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai keluhan penduduk Taman Barakah, Kampung Kubang Jela dan kawasan sekitarnya yang runsing dengan masalah ternakan seperti lembu dan kerbau yang berkeliaran bebas.

Menurut Dr Azman lagi, ketidakpatuhan dalam kaedah penternakan boleh mengundang pelbagai risiko, termasuk penularan penyakit berjangkit, pencemaran dan kacau ganggu, selain mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Katanya, risiko lebih serius ialah kemalangan yang boleh meragut nyawa manusia serta haiwan itu sendiri.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya JPV menyemak semula peraturan atau enakmen berkaitan bagi menyediakan asas perundangan yang lebih jelas untuk membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pemilik haiwan yang dibiarkan berkeliaran.

Azman berkata, ketika ini, pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan terhadap haiwan berkeliaran ialah pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Penguatkuasaan undang-undang bagi menangani masalah lembu dan ternakan berkeliaran bukan di bawah bidang kuasa Jabatan Veterinar atau pengerusi jawatankuasa pertanian.

“Undang-undang kecil PBT memberikan kuasa kepada pihak berkenaan untuk menangkap haiwan ternakan yang berkeliaran.

“Sebahagian PBT sudah mengambil tindakan berkenaan. Insya-Allah, kita akan mencadangkan supaya tindakan diambil dengan lebih tegas, menyeluruh dan berkesan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pemilik ternakan supaya tidak menyalahkan pihak berkuasa sekiranya haiwan mereka ditangkap dalam operasi penguatkuasaan selepas ini.

“Pemilik jangan marah sekiranya ada lembu atau ternakan mereka yang dinaikkan ke lori majlis daerah selepas ini.

“Sediakan wang untuk menebus semula ternakan berkenaan. Jika pemilik tidak menuntutnya, ternakan itu akan dilelong,” katanya.

Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsi ke emel Suara Anda, Kami Dengar di am@hmetro.com.my

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top