Pelakon Datuk Fizz Fairuz, 47, kini mengorak langkah dalam bidang baharu apabila memilih untuk menceburi sektor pelancongan dan pertanian sebagai perancangan jangka panjang.
Menurut suami kepada pelakon Datin Almy Nadia ini, dia sedang membangunkan sebuah resort bersama tapak perkhemahan mewah atau glamping di atas tanah seluas tiga ekar miliknya yang terletak di Ulu Dong, Raub, Pahang.
“Alhamdulillah, hujung tahun 2024 saya berjaya beli tanah di Kampung Perwas, Ulu Dong. Tanah itu seluas tiga ekar dan sekarang sedang siapkan resort glamping di situ. Pembinaan pun sudah hampir siap.
“Di kawasan itu juga ada kebun durian dengan kira-kira 32 pokok, selain kolam ikan dan rumah,” katanya kepada XTRA.
Fizz berkongsi perkembangan tersebut ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), Sabtu lalu.
Menurutnya, resort berkenaan dijangka dibuka kepada orang ramai selepas sambutan Aidiladha tahun ini sekiranya semua perancangan berjalan lancar.
“Insya-Allah kalau semuanya dipermudahkan, selepas Raya Haji nanti kami akan mula buka kepada pengunjung. Lokasinya mudah diakses, betul-betul di tepi jalan dan kawasan sekitarnya sangat cantik, berhampiran sungai,” ujarnya.
Dalam masa sama, Fizz mengakui minat terhadap dunia pertanian sudah lama sebati dalam dirinya.
“Memang dari dulu saya minat bercucuk tanam. Walaupun tinggal di kawasan perumahan, saya tetap cari ruang di balkoni untuk tanam macam tembikai dan sawi. Syukur saya berjaya beli tanah untuk gapai impian saya,” katanya.
Dalam acara Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang 2026, Fizz bertindak selaku hos bersama Noorkhiriah dan Lan Siro.
Lebih 10,000 anak kelahiran Pahang yang berada di luar negeri itu khususnya di sekitar Lembah Klang hadir memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang 2026.


Diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, ini kali ketiga kerajaan Pahang menganjurkan program itu dengan kali pertama di Stadium Titiwangsa di sini, pada 2024 dan disusuli di Dewan Perdana FELDA pada tahun lalu yang menerima sambutan luar biasa.
Kredit foto: Instagram Fizz Fairuz, BH Online




