Teroka ruang tanpa sempadan

Teroka ruang tanpa sempadan

zhahirah@hmetro.com.my

Di sebalik setiap visual sinematik dari udara, tersimpan perjuangan Ahmad Jazlan Jasni, 27, yang menggabungkan dua dunia, jiwa seni sebagai produser kreatif dan kemahiran teknikal ekstrem sebagai pengendali dron FPV (pandangan orang pertama).

Pada usia muda, Jazlan bukan sekadar menekan butang alat kawalan. Jazlan terbang bebas mengawal dron FPV secara manual, mengimbangi keindahan visual dengan ketepatan teknikal.

Cabaran mengemudi visi kreatif syarikat Kunang Pictures Group Sdn Bhd sambil berdepan insiden ngeri dron ‘ranap’, termasuk satu yang ‘dipancing’ daripada kolam air masin, tidak pernah mematahkan semangat Jazlan.

Bagi Jazlan, hobi sejak usia sembilan tahun kini menjadi kerjaya luar biasa hasil usaha mencabar diri.

Kecenderungan terhadap dunia penerbangan bermula sebelum kewujudan dron moden, ketika Jazlan bermain helikopter kawalan jauh.

“Minat saya bermula ketika berusia sembilan tahun. Masa itu belum ada dron, cuma helikopter kawalan jauh,” katanya.

Kemahiran mengawal helikopter kawalan jauh menjadi asas utama sebelum Jazlan beralih ke dron moden, khususnya jenis FPV.

Inspirasi datang daripada pengendali dron antarabangsa terkenal, Johnny FPV, yang mendorong Jazlan meneroka dunia penerbangan sinematik daripada sudut pandang baharu.

“Saya rasa bebas bila berada di atas, seolah-olah saya sebahagian daripada keindahan alam,” katanya.

Kehebatan Jazlan di udara disokong oleh kepakarannya di darat sebagai produser kreatif.

Jazlan bukan sekadar merakam, tetapi membentuk penceritaan visual daripada peringkat pra hingga pasca produksi.

“Saya akan berbincang dengan penulis skrip, pelukis papan cerita dan pengarah sebelum penggambaran untuk pastikan setiap ‘shot’ ada nilai emosi,” katanya.Latar belakang dalam bidang Komunikasi Massa banyak membantu Jazlan memahami aspek komposisi visual.

“Gabungan ilmu komunikasi visual dan kemahiran teknikal menjadikan penerbangan dron lebih daripada sekadar rakaman, ia penceritaan dari udara,” kata Jazlan.

Setiap kejayaan tidak datang tanpa pengorbanan. Jazlan mengakui, beberapa pengalaman pahit turut menguji kesabaran dan ketenangannya.

Antaranya, insiden pertama di Masjid Kristal, Terengganu, apabila dron terhempas selepas bateri tiba-tiba habis.

“Dron jatuh daripada ketinggian sangat tinggi, syukur ia tidak mengenai sesiapa,” kata Jazlan.

Insiden kedua berlaku ketika penggambaran acara memancing di Klang, Selangor apabila dronnya ‘dipancing’ secara tidak sengaja dan terjunam ke dalam kolam air masin menyebabkan kerosakan total.

“Saya sempat tanya penganjur, ‘air masin atau air tawar?’ Bila dia jawab air masin, saya terus tahu dron itu tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Kejadian ketiga di universiti swasta menyaksikan dron FPV baharu Jazlan berkecai selepas dibadai angin kuat ketika tugasan rasmi.

“Bila nampak dron jatuh, saya hanya harap ia tidak terbakar kerana ia mungkin mendatangkan bahaya pada orang ramai,” katanya.

Sebagai produser kreatif, Jazlan menilai kejayaan sesebuah video bukan semata-mata pada keindahan visual, tetapi sejauh mana emosi penonton disentuh.

“Di Kunang Pictures, bila video siap, kami akan tonton ramai-ramai. Saya bukan tengok skrinnya, tapi tengok muka penonton dan nilai sampai atau tidak emosi itu?,” katanya.

Satu daripada karyanya dihasilkan untuk video sambutan Aidilfitri universiti dan ia membuatkan penonton menitiskan air mata.

“Ketika itu, saya tahu bahawa penceritaan berkenaan berjaya disampaikan,” katanya.

Bagi Jazlan, dunia dron adalah ruang tanpa sempadan untuk belajar dan bereksperimen.

“Jangan limitasikan diri. Ada kalanya kita tidak tahu potensi sebenar sehinggalah kita cuba,” katanya.

Jazlan memulakan langkah dengan membeli alat kawalan dan berlatih menggunakan simulator.

Kini, Jazlan terus berusaha menambah ilmu dan mencabar diri meneroka penerbangan berisiko tinggi, termasuk penggambaran sinematik rapat dengan kenderaan dan di kawasan berbukit.

Bagi Jazlan, setiap momen tidak boleh diulang, dengan terbang, dia merasa bebas seolah-olah sebahagian daripada keindahan alam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top