Terpaksa bawa bayi ke PKRC

Terpaksa bawa bayi ke PKRC

bhnews@bh.com.my

TUMPAT: “Saya terpaksa mengambil risiko apabila membawa bersama bayi ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (COVID-19) sebaik saya disahkan positif COVID-19,” kata Noraini Ahmad Razlan.

Noraini, 29, dari Kampung Teluk Renjuna disahkan positif selepas melakukan ujian calitan semalam, tetapi bayi lelakinya, Ali Rafiki Rostam, empat bulan, selamat daripada jangkitan.

Noraini yang ditemui di Jeti Kok Majid di sini, hari ini, selepas dibawa menaiki bot pasukan anggota bomba dari jeti kampungnya menuju ke tanah besar untuk dibawa ke PKRC.

Dia berkata, bayi lelakinya yang tidak dijangkiti terpaksa dibawa bersama kerana masih menyusu badan dan tiada yang boleh menjaganya jika ditinggalkan.

“Anak sulung saya berusia lima tahun ditinggalkan di rumah di bawah jagaan kakak ipar manakala suami pula bekerja di Machang.

“Memang rasa risau mengenangkan bayi saya berada dalam kelompok kami yang positif (COVID-19) di PKRC nanti tetapi apa boleh buat. Saya serahkan kepada Allah,” katanya.

Noraini adalah antara 38 penduduk dari empat kampung yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Sungai Pinang yang dipindahkan dalam operasi pemindahan, hari ini.

Selepas tiga hari tiada proses pemindahan, hari ini Jeti Kok Majid kembali ‘meriah’ dengan proses pemindahan yang bermula jam 3 petang tadi membabitkan pesakit berusia sekitar sembilan hingga 70 tahun dengan menggunakan bot Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat.

Ketua BBP Pengkalan Kubor merangkap Penyelaras Pergerakan Pengangkutan Darat dan Air, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail berkata, setakat ini lebih 270 penduduk yang dikenal pasti positif COVID-19 sudah dipindahkan ke beberapa PKRC yang ditetapkan.

Katanya, selain urusan pemindahan pesakit COVID-19, pihaknya juga terbabit dengan penugasan membawa mereka yang selesai dikuarantin di PKRC kembali ke rumah masing-masing.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top