Penyanyi, Hafiz Suip memaklumkan dia terpaksa berjauhan dengan isteri serta anak-anak dan kini menetap di Kuching, Sarawak kerana perlu menjaga ibunya, Hazlinawati Salleh, 60, yang sedang sakit.
Ketika ditemui XTRA, Hafiz berkata ibunya mempunyai masalah kesihatan paru-paru berair yang agak serius sehingga memberi kesan kepada jantung.
“Saya kini menetap di Kuching untuk menjaga ibu bapa saya di sana. Buat masa ini saya terpaksa berjauhan dengan isteri dan anak-anak buat seketika.
“Hari ini hari kelima ibu saya dirawat di hospital kerana mengalami masalah paru-paru berair yang memberi kesan kepada jantungnya.
“Setakat ini, perkembangan yang saya terima daripada doktor adalah tiga daripada empat injap jantungnya kurang berfungsi. Selain itu, ibu juga ada masalah kencing manis, jadi sebab itulah saya ambil keputusan untuk menetap di sana,” katanya.
Sementara itu, Hafiz yang mempertaruhkan lagu Terus Bersinar di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik ke-39 ini hampir tidak menyertai program tersebut kerana berasa berat hati mahu meninggalkan kedua orang tuanya itu.
Bagaimanapun, atas dorongan dan semangat daripada ibunya, Hafiz tampil menyanyikan lagu tersebut dengan penuh cemerlang.
“Kalau diikutkan berat rasa nak ke Kuala Lumpur tapi saya ingat pesan ibu minta saya buat persembahan pada malam ini (semalam) untuk tidak kecewakan peminat.
“Ibu saya doakan yang terbaik untuk membabitkan saya dalam SFMM39 ini. Dialah yang memberi dorongan untuk saya meneruskan persembahan pada malam ini. Tapi itulah perasaan kita sebagai seorang anak ni,” jelasnya.
Hafiz bagaimanapun sempat memohon kepada orang ramai agar mendoakan kesihatan ibu bapanya bertambah baik.
Dalam perkembangan lain, Hafiz yang sudah lama tidak bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) telah mempertaruhkan lagu Terus Bersinar ciptaan Mass Dewangga, Jova Devito dan Datuk Arisz Ab Rahman.
Sekadar info, kali terakhir Hafiz bertanding di pentas AJL pada edisi ke-34 dengan mempertaruhkan lagu Kisah Cinta Kita ciptaan Ikhwan Fattana, Ayden Ali dan Datuk A. Aida sekaligus berjaya merangkul anugerah Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik.
Artikel Berkaitan: Isu Fitnah Rumah Tangga, Hafiz Suip Minta Netizen Jangan Menyibuk! -“Kau Orang Tak Ada Hak Pun Nak Tahu Pasal Urusan Peribadi Saya”



