Terpaksa guna perahu penduduk bawa keluar wanita mahu bersalin

Terpaksa guna perahu penduduk bawa keluar wanita mahu bersalin

mdroji@bh.com.my

Kuching: Anggota bomba terpaksa menggunakan perahu penduduk kampung bagi memindahkan wanita yang sarat hamil selepas kediamannya di Rumah Panjang Engkeng, Sungai Amang di Jalan Selirik, Kapit, dilanda banjir, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, pada awalnya anggota bomba menghubungi Unit Kecemasan Hospital Kapit untuk bantuan mengambil wanita berusia 26 tahun itu.

Bagaimanapun katanya, wanita berkenaan dalam keadaan sakit untuk melahirkan anak, yang menyebabkan anggota bomba terpaksa bergegas menggunakan perahu penduduk untuk keluar ke jalan raya.

“Wanita itu kemudian dihantar ke Hospital Kapit menggunakan van.

“Turut dipindahkan dari rumah panjang itu seorang lagi wanita serta seorang lelaki,” katanya.

Menurutnya lagi, ibu muda itu kemudiannya selamat melahirkan bayi perempuan sejurus tiba di Hospital Kapit.

Terdahulu, katanya, bomba menerima panggilan berhubung banjir di rumah panjang itu 5 pagi, sebelum sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit diarah ke lokasi.

“Kawasan luar rumah panjang terbabit dinaiki air sehingga tiga meter akibat limpahan Sungai Batang Rajang selepas hujan lebat berterusan.

“Anggota terpaksa menggunakan tali untuk menyeberangi jambatan besi ke rumah panjang berkenaan,” katanya.

Menurutnya lagi, pemantauan sedang dijalankan dan jika keadaan semakin buruk, penduduk akan diarah berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top