Pasir Mas: Berlaku lambakan tembikai di Kelantan sehingga ada dalam kalangan pengusaha terpaksa menjual serendah 80 sen sekilogram.
Pengusaha tembikai mendakwa lambakan berlaku pada tahun ini disebabkan terlalu ramai yang menanam tembikai berbanding tahun lalu.
Disebabkan itu juga, pihak pemborong menawarkan harga yang murah di kebun sehingga 70 sen sekilogram bagi tembikai gred A dan tidak akan mengambil bekalan berkenaan sekiranya pengusaha menetapkan harga yang lebih tinggi.
Pengusaha tembikai dari Kampung Gual Mesra, Hasbilah Mat Yaacob, 45, berkata, jika sebelum ini pengusaha tembikai di Kelantan hanya sekitar 300 orang sahaja, namun meningkat kepada sekitar 600 orang tahun ini.
“Semua mahu menanam tembikai disebabkan harga tahun lalu adalah yang paling tinggi sehingga RM4 sekilogram.
“Namun sebaliknya yang berlaku tahun ini apabila terlalu ramai yang menanam sehingga tidak tahu mahu menjual tembikai ke mana.
“Bayangkan situasi yang berlaku kini semua pengusaha berebut menjual harga yang rendah kerana mahu menghabiskan bekalan dan sekali gus menyebabkan mereka bukan sahaja tidak mendapat keuntungan, sebaliknya mengalami kerugian.
“Mereka yang mendapat bantuan daripada pihak tertentu untuk menanam tidak mengapalah, namun bagi saya yang 100 peratus modal sendiri sudah tentu rasa terkesan dengan situasi ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Dia yang mengusahakan tanaman tembikai sejak 15 tahun lalu itu berkata, ada dalam kalangan pemborong menawarkan harga tidak masuk akal sehingga 70 sen sekilogram sahaja.
“Bayangkan harga yang ditawarkan bagi gred A hanya 70 sen sahaja di kebun sedangkan itu adalah harga belasan tahun lalu. Mereka tawarkan harga serendah itu disebabkan ada dalam kalangan pengusaha yang bersetuju kerana mahu menghabiskan bekalan.
“Sedangkan untuk mendapatkan semula harga modal, kami perlu menjual sekurang-kurangnya RM1.50 bagi sekilogram untuk buah tembikai gred A. Itu belum lagi kira untung, sebaliknya hanya modal sahaja.
“Memang dukacita buat pengusaha tembikai tahun ini yang berdepan lambakan tembikai,” katanya.
Seorang pengusaha tembikai, Mohd Rahimi Ibrahim turut menyifatkan ada dalam kalangan mereka terpaksa membuat lelongan buah berkenaan bagi menghabiskan bekalan berkenaan.
“Ada pemborong mahu membeli gred A sahaja, manakala gred B kami terpaksa melelong kerana nak jual di Terengganu pun, di sana juga berlaku lambakan buah.
“Justeru besar harapan kami berharap pihak berwajib memberi perhatian terhadap isu ini bagi menjaga kebajikan kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
