Terpedaya iklan Facebook, pegawai bank rugi RM241,700

Terpedaya iklan Facebook, pegawai bank rugi RM241,700

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Hajat pegawai bank ingin memiliki kereta pacuan empat roda tidak kesampaian apabila terpedaya dengan skim pembelian kenderaan dalam talian hingga mengalami kerugian RM241,700.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa lelaki berusia 52 tahun membuat laporan polis berhubung penipuan itu jam 9.37 pagi semalam di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu.

Menurutnya, pada 4 Julai lalu, jam 12.30 tengah hari ketika berada rumahnya, mangsa melayari aplikasi Facebook dan melihat iklan jualan kereta terpakai berpengkalan di Pelabuhan Barat, Port Klang, Selangor.

Katanya, mangsa berminat untuk membeli kenderaan jenis Toyota Hilux 2.4 yang diperbuat pada tahun 2017.

“Lalu mangsa menekan pautan di Facebook dan terus membawa ke aplikasi Whatsapps pula untuk kononnya bagi urusan pembelian.

“Tidak lama kemudian mangsa dilayan oleh seorang lelaki untuk tujuan itu dan mangsa kemudian memberi salinan kad pengenalan dan bayaran kepada lelaki berkenaan untuk meneruskan proses pembelian kenderaan tersebut,” katanya.

Menurutnya, bermula pada 9 hingga 21 Julai lalu mangsa membuat bayaran sebanyak 40 transaksi ke dalam 18 akaun bank berbeza berjumlah RM241,700.

Katanya, pihak penjual meminta bayaran tambahan sebanyak RM31,000 untuk kos cap jari kastam namun pengadu mula syaki telah ditipu dan tidak membuat bayaran seterusnya.

Beliau berkata, sehingga kini pengadu masih belum menerima pacuan empat roda yang dijanjikan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Azli berkata, sumber kewangan mangsa adalah wang simpanan dan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik mangsa sendiri.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top