London: Legenda Chelsea dan England, John Terry meramalkan Sepanyol akan muncul juara Piala Dunia apabila berdepan Argentina pada aksi final di New Jersey, awal pagi Isnin ini.
Sepanyol mengesahkan tempat ke final selepas mempamerkan aksi meyakinkan dengan menewaskan pilihan kejohanan, Perancis 2-0 pada separuh akhir.
Skuad kendalian Luis de la Fuente itu akan berdepan juara bertahan, Argentina, yang bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan England 2-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Walaupun mengagumi semangat juang Argentina dan mengakui kehadiran Lionel Messi mampu mengubah keputusan perlawanan, Terry tetap menjangka Sepanyol akan menjulang trofi.
“Selepas menyaksikan kedua-dua perlawanan separuh akhir, bagi saya Sepanyol adalah pilihan,” kata Terry dalam rancangan Sports Uncensored.
“Kedua-dua pasukan sangat selesa menguasai bola, tetapi saya lihat hampir semua serangan Argentina ketika menentang England datang dari sebelah kanan melalui Lionel Messi.”
“Setiap kali mereka mengalihkan permainan ke sebelah kiri, bola segera kembali ke kanan.”
“Marc Cucurella adalah pemain terbaik ketika menentang Perancis dan Sepanyol kelihatan sangat kuat di bahagian kiri.”
“Selain itu, mereka tidak melepaskan sebarang gol ketika menentang Perancis dan hampir tidak dibolosi sepanjang kejohanan. Pada pandangan saya, mereka mempunyai kualiti yang lebih baik daripada Argentina.”
“Argentina tetap ancaman besar dan seperti yang kita lihat sepanjang Piala Dunia ini, mereka sentiasa mencari jalan untuk menang.”
“Apabila anda mempunyai ahli silap mata seperti Messi, anda sentiasa mempunyai peluang. Tetapi saya tetap fikir Sepanyol akan terlalu kuat untuk Argentina.”
“Namun saya juga melihat satu sisi Argentina yang tidak dimiliki banyak pasukan, iaitu semangat juang dan ketahanan mental.”
Bekas kapten Scotland, Graeme Souness, turut melihat Sepanyol mempunyai sedikit kelebihan berbanding Argentina.
“Sukar untuk membuat ramalan kerana kita tahu kemampuan Argentina,” katanya.
“Sejak awal permainan mereka sentiasa cuba mengganggu tumpuan lawan supaya tidak fokus kepada permainan sendiri.”
“Bagi saya Sepanyol adalah pilihan, tetapi sangat sukar untuk menolak Argentina kerana mereka mampu bangkit dalam apa jua keadaan.”
“Jangan sesekali memandang rendah Argentina. Saya memilih Sepanyol sebagai pilihan tipis, tetapi selepas pernah berdepan ramai pemain Argentina, saya tahu mereka sangat kuat dari segi mental. Mereka benar-benar pemain bola sepak yang kental.”
Argentina memburu gelaran Piala Dunia keempat serta berpeluang menjadi hanya pasukan ketiga dalam sejarah yang berjaya mempertahankan kejuaraan.
Sepanyol pula berhasrat menjulang trofi Piala Dunia buat kali kedua selepas kejayaan pertama mereka pada edisi 2010.
© New Straits Times Press (M) Bhd




