am@hmetro.com.my
Melaka: Seorang wanita maut manakala suami bersama anak serta cucunya berusia dua bulan cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di Taman Bertam Impian, Melaka, hari ini.
Kejadian berlaku jam 2 petang itu apabila Perodua Bezza dipandu seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun dari arah Tengkera dipercayai tertekan pedal minyak secara tidak sengaja ketika mahu meletakkan kenderaan di kawasan parkir berdekatan sebuah pasar raya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu tersalah menekan pedal minyak.
“Ia menyebabkan kenderaan itu terbabas ke hadapan dan terjatuh ke dalam longkang.
“Akibat kemalangan itu, wanita berusia 55 tahun yang juga isteri kepada pemandu warga emas terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Punca kemalangan akibat kenderaan terbabas sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, mangsa yang berasal dari Sarawak kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JBPM Melaka, Mohd Hafidzatullah Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan dan sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, kami mendapati kereta terbabas ke dalam longkang. Empat mangsa terbabit iaitu suami isteri, seorang anak perempuan berusia 24 tahun dan seorang cucu.
“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan, namun seorang wanita disahkan meninggal dunia manakala tiga lagi cedera,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




