London: Polis United Kingdom (UK) melancarkan operasi memburu dua banduan yang tersilap dibebaskan dari Penjara Wandsworth, sekali gus mencetuskan kemarahan ahli Parlimen terhadap kelemahan sistem penjara negara itu.
Individu utama yang dicari ialah Brahim Kaddour Cherif, 24, seorang pesalah seksual berdaftar yang dibebaskan secara tidak sengaja pada 29 Oktober lalu.
Polis memaklumkan, mereka hanya diberitahu mengenai pembebasan Cherif enam hari selepas kejadian berlaku.
Selain Cherif, seorang lagi banduan warga Algeria yang disabitkan kes penipuan turut tersilap dibebaskan dari penjara sama pada Isnin.
Setiausaha Kehakiman, David Lammy menyifatkan, insiden itu sebagai amat mengejutkan dan memalukan, lebih-lebih lagi ia berlaku selepas kawalan keselamatan penjara dipertingkatkan.
Difahamkan, kesilapan ini disedari selepas seorang pemohon suaka dari Ethiopia, Hadush Kebatu, turut dibebaskan secara tersilap sebelum ditangkap semula selepas 48 jam.
Kerajaan kemudian menghantar pulang Kebatu dan melancarkan siasatan bebas mengenai kecuaian berkenaan.
Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri mengesahkan, Cherif masuk secara sah ke UK pada 2019 tetapi sudah terlebih tempoh visa.
Kerajaan menegaskan warga asing yang melakukan jenayah akan dihantar pulang selepas proses undang-undang selesai.
Insiden terbaharu ini menambah tekanan terhadap Perdana Menteri, Keir Starmer yang berdepan kritikan berkaitan isu imigresen, susulan peningkatan sokongan terhadap parti anti-imigran Reform UK yang dipimpin tokoh pro-Brexit lantang, Nigel Farage.
Sementara itu, jurucakap rasmi kerajaan juga menyifatkan, pembebasan salah itu sebagai tidak boleh diterima tetapi menyalahkan kerajaan terdahulu atas sistem penjara yang kucar-kacir.
Data rasmi menunjukkan 262 banduan dibebaskan secara tersilap dalam tempoh setahun sehingga Mac 2025, meningkat lebih dua kali ganda berbanding tempoh sebelumnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




