am@hmetro.com.my
Nilai: Tertuduh lelaki yang didakwa atas atas lima pertuduhan berkaitan bahan letupan buatan sendiri (IED) di Nilai, Disember lalu, disahkan meninggal dunia, malam ini.
Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Johari Yahya berkata, warga emas, Yeoh Hock Sun, 63, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada jam 8.18 malam.
“Pada jam 8.30 malam tadi, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai dimaklumkan oleh anggota pengiring Penjara Kajang, Selangor bahawa tertuduh lelaki bersabit kes letupan IED di kawasan perumahan Desa Palma, di sini, meninggal dunia di HKL.
“Punca kematian adalah refretory shock iaitu keadaan renjatan yang tidak memberi tindak balas walaupun rawatan standard sudah diberikan secara optimum,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan prosiding sebutan semula kes lelaki itu pada 12 Februari lalu terpaksa ditangguhkan selepas tertuduh dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di hospital.
Malah, pada 9 Januari lalu, pertuduhan terhadap warga emas yang dikenali sebagai ‘Ayang’ itu dibacakan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini kerana sedang dirawat akibat kecederaan dialami dalam kejadian letupan yang berlaku.
Dia bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan.
Sebelum itu, Harian Metro melaporkan penduduk di Desa Palma pada 22 Disember lalu terkejut apabila letupan berlaku di dalam sebuah kereta ketika suspek dipercayai sedang mengalihkan peranti berkenaan sebelum dia melarikan diri.
Kemudian lelaki itu ditemukan dalam keadaan lemah dengan kesan melecur pada muka, tangan dan kaki di kawasan hutan dekat Batang Benar, Nilai, 27 Disember.
© New Straits Times Press (M) Bhd




