Tertuduh kes bunuh, bakar 3 sekeluarga di Pagoh semakin kurus, guna kerusi roda

Tertuduh kes bunuh, bakar 3 sekeluarga di Pagoh semakin kurus, guna kerusi roda

am@hmetro.com.my

Muar: Prosiding permohonan untuk memindahkan kes bunuh dan bakar tiga sekeluarga di Pagoh pada Ogos tahun lalu, ke Mahkamah Tinggi tertangguh berikutan status izin masih belum tersedia.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amieerah Alludeen ketika prosiding sebutan semula berkenaan status permohonan izin terhadap tertuduh, Azman Mohamed Nor, 48, di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Susulan itu, Majistret Suzana Mokhtar menetapkan tarikh baharu pada 16 Mei ini untuk sebutan status itu.

Terdahulu, Azman yang berhadapan tiga pertuduhan tiba di mahkamah dalam keadaan berkerusi roda dengan kesihatannya didapati terjejas serta mengalami sakit kaki.

Susuk tubuhnya juga berlainan apabila beratnya didapati berkurang hampir separuh daripada asal hingga menyukarkan pihak mengenalinya.

Sebelum ini, prosiding sebutan semula terhadap Azman dua kali ditangguhkan selepas tertuduh terpaksa dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan akibat masalah kesihatan.

Azman kini menjalani hukuman penjara sembilan tahun dan denda RM5,000 atas pertuduhan mencederakan seorang anak saudaranya.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa membunuh bapanya, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, ibunya, Ara Abd Hamid, 76, dan anak saudara, Noradriana Nor Hasyim, 11.

Ketiga-tiga kejadian itu berlaku antara 1 hingga 3 pagi di rumah di Jalan Sekolah Kampung Paya Redan, 9 Ogos tahun lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.

Dalam kejadian itu, ibu dan bapa Azman ditemui rentung dalam rumah pusaka manakala Noradriana meninggal dunia dengan kecederaan parah di muka akibat dipukul dengan objek keras.

Kematian tiga beranak itu pada yang awalnya disiasat sebagai mati mengejut kemudiannya menjadi kes bunuh susulan penemuan beberapa kesan kecederaan terhadap mangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top