Bakal memegang watak legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek, pelakon baharu Kim Azzim melahirkan rasa syukur dan teruja apabila diberi kepercayaan menjayakan filem terbaharu bertajuk Sentuhan Wira.
Kim atau nama sebenarnya Nik Muhammad Azzimuddin Sulusna, 24, menyifatkan peluang itu sebagai satu detik pencapaian besar dalam hidupnya, lebih-lebih lagi kerana watak tersebut sangat dekat dengan sejarah kegemilangan sukan tanah air.
Menurut Kim, naskhah tersebut bukan sekadar sebuah filem, sebaliknya karya yang mengembalikan memori kebanggaan negara ketika skuad badminton Malaysia mencipta sejarah menjuarai Piala Thomas 1992.\

“Ini satu pencapaian peribadi buat saya dan dalam masa sama memori penting buat negara. Saya berpeluang menyelami perjalanan hidup Datuk Rashid Sidek serta menghidupkan kembali detik bersejarah kemenangan Piala Thomas 1992 untuk Malaysia.
“Dalam setiap babak, saya akan berikan sepenuh jiwa bagi menghormati kisah ini, para wira negara serta rasa bangga terhadap tanah air,” katanya.
Menariknya, Kim mendedahkan pada awalnya dia disasarkan untuk watak lain sebelum dimaklumkan bahawa tanggungjawab besar sebagai Rashid Sidek diserahkan kepadanya.

“Saya anggap ini rezeki dan satu penghormatan besar. Sudah tentu rasa gembira bercampur gementar kerana ini cabaran yang sangat bermakna.
“Walaupun pernah aktif bermain badminton, saya tetap perlu melakukan latihan lebih intensif sebelum penggambaran yang dijangka bermula awal tahun depan,” ujarnya.
Bercerita tentang pengalaman uji bakat, Kim berkata dia sama sekali tidak menyangka Rashid sendiri berada di kerusi juri.
“Bayangkan idola berada di depan mata. Dapat jumpa, bersalaman, memang menggigil sebab terlalu teruja.
“Sejak sekolah hingga kolej saya aktif bermain badminton dan pernah mewakili institusi ke peringkat negeri. Kini bukan sahaja dapat bertemu wira negara, malah diberi kepercayaan membawa wataknya. Ini ibarat impian menjadi nyata,” katanya.
Filem terbitan Victory Pictures itu menyorot detik gemilang Malaysia merangkul Piala Thomas, selain mengetengahkan kisah dua legenda badminton negara, Rashid Sidek dan Cheah Soon Kit.




