Terus kejar impian

Terus kejar impian

norhayati_nordin@hmetro.com.my

KEUTAMAAN seseorang bergelar isteri dan ibu pastinya memenuhi tanggungjawab kepada suami dan anak-anak, namun pada masa sama karier juga penting buat wanita masa kini.

Bagi pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad, 33, dia sentiasa berusaha mengejar impiannya walaupun ketika ini mempunyai dua cahaya mata, Raja Urhan, 3, dan Raja Urayyan berusia lapan bulan.

Menurut hos Wanita Hari Ini (WHI) di TV3 itu, dia bagaimanapun bersyukur apabila suami, Raja Syahiran Raja Azhanrianshah, 32, sangat memahami dan merestui apa yang ingin dilakukannya.

“Alhamdulillah, Allah hadirkan saya suami yang sentiasa menyokong apa saja impian saya. Ini kerana, bagi Syahiran tiada halangan untuk saya mengejar setiap impian diinginkan dalam karier dan kehidupan.

“Dia (Syahiran) tidak mahu status isteri dan ibu itu, buat saya rasa tidak boleh untuk pergi lebih jauh dalam karier serta kejar impian kehidupan sebab anak-anak kami yang masih kecil.

“Selagi ada rezeki dan peluang yang datang untuk saya, wajar diambil kerana pada masa akan datang, belum tentu dapat lagi. Usia pun makin meningkat dan selagi orang masih nakkan khidmat kita,” katanya di Sri Pentas TV3.

Uyaina atau Saidatul Naseha Uyaina Arshad berkata, suaminya juga rajin membantu menjaga anak-anak ketika dia keluar bekerja, selain mendapat bantuan daripada ibunya dan keluarga mentua.

“Sebagai ibu, apa yang merisaukan kita jika keluar bekerja adalah penjagaan anak-anak yang masih kecil. Tapi, Syahiran selalu ingatkan saya supaya positif dan fokus saja pada kerja yang saya lakukan.

“Pekerjaan juga satu tanggungjawab yang perlu kita buat sebaik mungkin sebab itu rezeki. Jadi, untuk itu saya selalu cuba dan usaha buat yang terbaik untuk keberkatan bekerja dan rezeki juga,” katanya.

Terbabit dalam pengacaraan selama lapan tahun, Uyaina meraih kemenangan sebagai Pengacara TV Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-36 (ABPBH36) pada Oktober tahun lalu.

Katanya, dia tidak pernah menduga akan mendapat rezeki menang trofi itu kerana bukan mudah untuk tergolong ‘popular’ sebab kena ada kelab peminat yang kuat berikutan ia pengiktirafan berdasarkan undian peminat.

“Bila diingat semula, terkejut juga saya sebab ada peminat. Bukan apa, saya ini bukan pengacara program hiburan. WHI itu adalah rancangan ‘talkshow’ yang mengupas isu semasa. Tapi, di situ (WHI) saya banyak timba ilmu.

“Saya dapat belajar dengan pengacara senior iaitu kak Fiza Sabjahan dan kak Rena Kassim yang tak lokek ilmu mereka. Walaupun kedua-dua wanita itu bagus hasil kerjanya, tetapi mereka suka membantu,” katanya.

Jelas Uyaina, dia jadi sentiasa ada semangat dalam diri untuk membuat yang terbaik berikutan bertugas dengan rakan sekerja sebagus Fiza dan Rena di awal pembabitannya dalam WHI pada 2017.

Rehat dulu aktiviti lakonan

Bidang lakonan juga tidak asing bagi Uyaina kerana dia pernah membintangi beberapa drama sebagai watak pembantu dan utama. Cuma sekarang dia ‘berehat dulu’.

Mengulasnya, Uyaina tidak menafikan minat berlakon dalam dirinya masih ada dan belum lagi pudar. Namun, dia agak sibuk dengan urusan kerja sedia ada serta komitmen keluarga.

“Kalau berlakon itu, memang rindu juga sebab di set penggambaran kita dapat berkumpul sambil bekerja dengan pelakon lain. Masing-masing pun dah macam satu keluarga.

“Cuma saya belum dapat ambil tawaran berlakon lagi sebab anak-anak masih kecil. Saya ingin ada masa dengan mereka selalu dan tak nak asyik bekerja saja. Masa yang berlalu, tak akan berulang lagi.

“Saya nak tengok anak-anak membesar depan mata dan masa bersama mereka itu buat saya gembira, puas dan bersemangat. Walaupun letih bekerja, tapi bila tengok wajah anak di rumah, hilang semua rasa penat,” katanya.

Bagaimanapun, demi minat menimba ilmu, Uyaina dan suami mengikuti kursus pendek dikenali Leadership & Entrepreneurship Acceleration di Universiti Oxford selama seminggu pada Disember lalu.

Sebelum itu, Uyaina juga adalah alumni graduan Fakulti Undang-Undang dari Universiti Malaya (UM), namun dia memilih tidak menjadi peguam dan akuinya sudah 10 tahun meninggalkan aktiviti dewan kuliah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top