am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Usia 100 tahun penubuhan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) pada tahun ini bukan sahaja melakar sejarah besar kepada pentadbiran Islam di Johor, malah membuktikan institusi itu kekal relevan dalam mendepani cabaran semasa.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, penubuhan MAINJ pada tahun 1925 memperlihatkan peranan besar institusi itu dalam mengurus dan mengawal selia hal ehwal agama Islam di negeri ini.
Katanya ia termasuk memacu segala aspek berkaitan pembangunan zakat, wakaf serta baitulmal, serta bidang pendidikan sekolah agama, selain memperkukuh kedudukan agama Islam dalam sistem pemerintahan negeri.
“Seratus tahun bukan angka yang kecil, ia menunjukkan panjangnya perjalanan MAINJ sebagai pentadbir agama Islam di Johor. MAINJ bukan sekadar institusi tetapi ia telah memberi warna dan makna kepada kehidupan rakyat khususnya umat Islam.
“Teras maqasid syariah yang menjadi tanggungjawab utama MAINJ sentiasa dijaga. Dalam tempoh seratus tahun ini, kita juga perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan keperluan semasa, terutama dalam aspek teknologi dan pembangunan ummah.
“Teknologi dan pembangunan asnaf tidak boleh dipisahkan. Ekonomi orang Islam juga perlu dimajukan. Justeru itu, MAINJ kena segera adaptasi semua perkara ini dan menyesuaikan diri dengan pembangunan hari ini. Insya-Allah MAINJ akan kekal relevan selama-lamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan 100 Tahun Penubuhan MAINJ dan Multaqa Ulama’ Darul Ta’zim kali ke 9 yang disempurnakan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, hari ini.
Turut mencemar duli, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.
Turut hadir Yang Dipertua Jumaah Majlis di Raja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan barisan exco kerajaan negeri.
Menurut Mohd Fared, antara cabaran besar ketika ini adalah keperluan adaptasi teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), agar penyampaian dakwah Islam lebih mudah difahami, terutama oleh generasi muda.
Katanya agama Islam tidak pernah menyusahkan, malah ia agama yang memudahkan umatnya.
“Tetapi jangan pula diambil mudah hingga menimbulkan percubaan ajaran sesat atau memesongkan akidah.
“Kekuatan MAINJ bukan sahaja dihimpuni kelompok agamawan, tetapi turut disertai ahli majlis daripada pelbagai bidang seperti korporat, perundangan dan kesihatan. Kehadiran mereka memperkukuh usaha menjadikan Islam dekat dengan jiwa masyarakat hari ini,” katanya.
Di samping itu, Mohd Fared berkata, pendekatan MAINJ kini tidak lagi bergantung kepada ceramah semata-mata, sebaliknya disampaikan melalui medium yang lebih menarik dan sesuai dengan naluri generasi muda.
© New Straits Times Press (M) Bhd




