Penyanyi dan pelakon, Shiha Zikir mencuri perhatian warganet selepas berkongsi pengalaman seram yang dialaminya ketika memandu pulang dari studio, lewat malam semalam.
Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir, 38, menerusi perkongsian di platform Threads berkata kejadian itu berlaku di sebuah lebuh raya berhampiran kawasan berbukit di Semenyih sekitar jam 12 tengah malam.
“Semalam balik dari studio lebih kurang hampir 12 tengah malam. Masuk highway yang tak banyak kereta dan kawasan berbukit,” tulisnya.
Menurut Shiha, dia secara tiba-tiba terhidu bau bunga yang sangat kuat di dalam keretanya.
“Pertama kali lalui pengalaman terbau wangi dalam kereta. Kuat sangat bau bunga.
“Waktu terbau itu, terus tengok tempat duduk belakang. Alhamdulillah, tak nampak apa-apa. Bau saja,” katanya.
Malah, Shiha turut menggambarkan bau berkenaan sebagai seakan bunga dalam ruang tertutup, yang muncul sekejap-sekejap.
“Susah nak jelaskan bau itu. Korang faham tak bau wangi bunga, tapi macam bau yang dalam tempat tertutup so kejap wangi, kejap tak wangi sangat,” tambahnya lagi.
Perkongsiannya itu menerima pelbagai reaksi daripada pengikut yang turut berkongsi pengalaman serupa, selain ada yang menasihatkan Shiha untuk lebih berhati-hati dan menjaga diri ketika memandu seorang diri pada waktu malam.