Moscow: Terusan Burgundy di Perancis mungkin ditutup sepenuhnya kepada aktiviti perkapalan berikutan paras air yang mencatatkan rekod terendah akibat gelombang haba luar biasa dan kemarau, kata Pengarah Navigable Waterways of France (VNF) Lionel Vuittenez, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Sebahagian terusan sudah ditutup sepenuhnya selama beberapa minggu manakala yang lain ditutup secara berperingkat mengikut bahagian, khususnya Terusan Burgundy,” kata Vuittenez kepada stesen radio franceinfo pada Rabu.
Menurut stesen radio itu, lalu lintas di terusan berkenaan mula dihadkan secara berperingkat sejak penghujung Mei dan menjelang 23 Julai, hanya kira-kira satu perempat daripada keseluruhan laluan masih dibuka.
Keadaan dijangka bertambah buruk kerana paras air lazimnya mencapai tahap paling rendah pada penghujung musim panas, manakala ramalan cuaca tidak menunjukkan kemungkinan hujan lebat.
Selain itu, pihak berkuasa dilaporkan bimbang kemarau berpanjangan boleh merosakkan empangan tanah liat di sepanjang terusan itu, sekali gus menyebabkan kebocoran dan insiden lain.
Eropah kini sedang mengalami antara tempoh cuaca paling panas dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan Sepanyol, Portugal, Perancis, Itali dan Greece menjadi antara negara yang paling terjejas.
Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata pada 16 Julai bahawa negara itu sedang berdepan kebakaran hutan tertinggi pada musim panas tahun ini sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua.
© New Straits Times Press (M) Bhd




