Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan bahawa pendidikan perlu terus diberikan kepada anak-anak yang berada di sebalik tembok penjara kerana mereka juga berhak mendapat peluang untuk mengubah kehidupan.
Jangan biarkan satu bab gelap tentukan keseluruhan cerita hidup
Menerusi perkongsian di Facebook, beliau menyatakan kesilapan yang pernah dilakukan seseorang tidak seharusnya menjadi penentu kepada keseluruhan kehidupannya, sebaliknya setiap individu perlu diberikan ruang dan peluang untuk berubah menerusi pendidikan.
“Jangan biarkan satu bab yang gelap menentukan keseluruhan cerita hidup kita.
Dahulu, Penjara Wanita Kajang ialah tempat saya keluar masuk menjalankan amanah sebagai peguam dan aktivis masyarakat.
“Semalam, saya kembali. Tetapi kali ini, untuk bertemu anak-anak yang sedang mengikuti program Hijrah Kasih.
“Setiap kali melawat Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney, saya selalu diingatkan mengenai satu perkara.
“Manusia boleh melakukan kesilapan tetapi manusia juga boleh berubah. Untuk berubah, seseorang memerlukan peluang.
“Sebab itu, pendidikan mesti terus hadir walau di mana pun anak-anak kita berada. Di sebalik tembok penjara sekalipun, mereka masih berhak mendapatkan pendidikan,” katanya.
Mereka boleh berjaya
Dalam pada itu, Fadhlina menambah, anak-anak yang mengikuti pendidikan di sekolah dalam penjara turut membuktikan bahawa mereka mampu mencapai kejayaan apabila diberikan peluang.
Malah, beliau berkata, sekolah berkenaan telah mencatatkan pencapaian kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebanyak 100 peratus dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Masa lalu tidak boleh diubah. Tetapi apa yang kita pilih untuk lakukan selepas ini, masih berada di tangan kita.
“Kerana kadang-kadang yang diperlukan seseorang untuk mengubah hidupnya hanyalah satu peluang.
“Semoga Hijrah Kasih terus menjadi ruang untuk anak-anak kita berhijrah daripada kesilapan kepada harapan, dan daripada harapan kepada kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Sumber: Facebook Fadhlina Sidek

