sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Pemain Terengganu FC (TFC) diingatkan agar tidak memandang sebelah mata kelab Liga M3, Melaka FC pada aksi pertama Pusingan 16 Piala Malaysia, Sabtu ini.
Ketua jurulatihnya, Badrul Afzan Razali berkata, hal ini bagi mengelak anak buahnya terjerat dengan taktikal pasukan lawan.
Jelasnya, ini kerana skuad lawan dibarisi pemain berpengalaman selain mendapat sentuhan bekas ketua jurulatih skuad Liga Super Negeri Sembilan musim lalu, K Devan.
“Saya ingatkan pemain agar tidak mengambil mudah pertemuan dengan kelab Liga M3 itu lebih-lebih lagi ramai pemain berpengalaman dalam skuad itu.
“Selain itu apabila bertemu dengan pasukan Liga Super, sudah pasti pemain mereka akan beraksi bermati-matian untuk melangkah ke peringkat seterusnya.
“Bagaimanapun saya percaya pemain TFC mampu menyerap tekanan dalam misi membawa bekalan selesa sebelum pertemuan kedua Pusingan 16 itu di Kuala Terengganu pula.
“Saya harap pemain lebih fokus serta tidak membiarkan pasukan lawan mendominasi permainan,” ujar jurulatih berusia 48 itu.
Naib juara Piala Malaysia musim lalu itu bakal berkunjung ke Stadium Hang Jebat pada Sabtu ini sebelum aksi timbal balik pada 29 November di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




