TFC hanya mampu seri 1-1 dengan KL City di tempat sendiri

TFC hanya mampu seri 1-1 dengan KL City di tempat sendiri

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) gagal memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri selepas terikat 1-1 dengan Kuala Lumpur City FC pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, sebentar tadi.

Penyerang baharu TFC kelahiran Belanda, Gervane Kastaneer meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi rembatan jarak jauh untuk pasukannya mendahului 1-0 sebelum pemain tengah pelawat, Nicolao Dumitru menyamakan kedudukan 1-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Lebih menarik gol Kastaneer yang juga pemain skuad Piala Dunia Curacao 2026 berusia 29 tahun itu adalah jaringan pertamanya bersama skuad Penyu menerusi dua penampilannya setakat ini.

Terdahulu skuad Penyu bimbingan jurulatih sementara, Tengku Hazman Raja Hassan itu terlebih dahulu menguji gawang pelawat menerusi rembatan separa voli pemain import kelahiran Brazil, Careca pada minit keempat yang hanya sedikit tersasar.

Tersentak percubaan bahaya itu, skuad The City Boys kendalian Risto Vidakovic memperkemaskan asakan, namun gagal menembusi benteng pertahanan tuan rumah yang diketuai kapten, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni.

Sebaliknya menerusi hantaran pemain pertahanan, Diego Landis kepada Kastaneer, penyerang itu bijak memperdaya pertahanan sebelum melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol import dari Filipina, Quincy Kammeraad pada minit ke-16 untuk mendahului 1-0.

Pada minit ke-47, pelawat berpeluang untuk menyamakan kedudukan menerusi percubaan penyerang import kelahiran Sepanyol, Victor Ruiz selepas mendapat hantaran Madger Gomes, namun rembatannya melambung tinggi sekali gus terselamat pintu gol TFC yang dikawal Rahadiazli Rahalim.

Berbaki 15 minit permainan untuk ditamatkan, jurulatih kelahiran Bosnia memasukkan bekas ‘ayam tambatan’ TFC, Safawi Rasid, namun masih buntu menembusi gawang tuan rumah yang kebal bertahan.

Bagaimanapun pada minit ke-84, menerusi kelicikan Safawi yang menghantar bola kepada Dumitru memudahkan pemain kelahiran Sweden itu menolak masuk untuk menyamakan kedudukan 1-1.

TFC yang tidak mahu mengalah hampir mendapat gol kedua pada masa kecederaan menerusi pemain gantian Baqiuddin Shamsudin, namun video bantuan pengadil (VAR) membatalkan jaringan itu sekali gus keputusan muktamad 1-1.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top