TFC kempunan mata penuh selepas diikat Negeri Sembilan

TFC kempunan mata penuh selepas diikat Negeri Sembilan

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) gagal mempertahankan kelebihan dua jaringan awal selepas terikat 2-2 dengan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super sebentar tadi.

Penyerang kelahiran Perancis, Yann Mabella dan pemain tengah dari Brazil, Careca masing-masing mencipta nama sebagai penjaring buat TFC sebelum Joseph Esso menjadi senjata pemusnah selepas meledak dua gol untuk skuad Hobin Jang Hobin.

Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, skuad TFC kendalian Tengku Hazman Raja Hassan mendominasi perlawanan dengan serangan awal menerusi Careca pada minit kesembilan yang hanya sedikit tersasar.

Mabella yang sebelum ini berehat lebih empat bulan akibat kecederaan, membuktikan kehadirannya berbaloi apabila berjaya meledak gol pertama perlawanan pada minit ke-16 selepas dia bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum menewaskan penjaga gol, Azri Ghani.

Jaringan pertama itu ternyata membangkitkan lagi semangat pemain skuad Penyu apabila kerap melakukan asakan menerusi tiga penyerang, Gervane Kastaneer, Mabella dan Haqimi Azim Rosli.

Memasuki minit ke-33, Careca yang mendapat umpanan daripada Kastaneer berjaya menjaringkan gol kedua buat pasukannya selepas bijak melencongkan bola ke penjuru kanan pintu gol pelawat untuk skuadnya mendahului 2-0.

Sepanjang babak pertama perlawanan, skuad Hobin Jang Hobin gagal memecah benteng pertahanan tuan rumah lebih-lebih lagi skuad itu kehilangan penyerang sensasinya, Luqman Hakim Shamsudin pada minit ke-23 akibat kecederaan.

Pada minit ke-55, pertahanan TFC, Diego Landis berjaya menjaringkan gol ketiga pasukannya selepas mudah menolak masuk hasil sepakan percuma Ehson Panjshanbe, namun selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR), jaringan itu dibatalkan pengadil, Hasrol Mohd Amir kerana pemain itu dikesan berada dalam keadaan ofsaid.

Ketinggalan dua gol memaksa pelawat menggandakan asakan, hasilnya pada minit ke-77, skuad kendalian K Rajan itu dihadiahkan sepakan penalti yang disudahkan Esso selepas Shahrul Nizam Ros Hasni dikesan melakukan kekasaran terhadap pemain lawan untuk merapatkan jurang 1-2.

Pada minit ke-82, Esso sekali lagi membuktikan ketajamannya apabila berjaya meledak gol kedua peribadinya yang juga jaringan penyamaan 2-2 selepas menerima hantaran Mio Tsuneyasu.

Bagaimanapun jaringan itu mendapat bantahan daripada pemain dan pegawai TFC selepas mereka mendakwa kesilapan dilakukan pengadil kerana sebelum itu penjaga garisan memberikan bola lontaran keluar kepada TFC sehingga memaksa perlawanan terhenti selama lima minit sebelum pengadil mengesahkan jaringan berkenaan dengan perlawanan berkesudahan 2-2.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top