TFC mungkin lepaskan Mamut

TFC mungkin lepaskan Mamut

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Impian peminat setia Terengganu FC (TFC) untuk menyaksikan penampilan pertama penjaring terbanyak skuad itu musim lalu, Ivan Mamut beraksi di kancah Liga Malaysia (Liga M) berkemungkinan besar tidak menjadi kenyataan.

Ini susulan penyerang kelahiran Croatia itu masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dialaminya ketika khidmat pemain di posisi itu begitu diperlukan pasukan.

Menambah lagi situasi itu apabila ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner membayangkan akan melepaskan pemain berusia 27 tahun itu pada jendela kedua perpindahan yang bermula 26 Ogos hingga 22 September 2024.

Jelas Steinbruckner, beliau tidak boleh menunggu terlalu lama berhubung kecederaan pemain tinggi lampai itu memandangkan tempoh Liga M masih lagi panjang sehingga 2025.

“Pada musim lalu saya begitu puas hati menyenaraikan pemain itu (Mamut) kerana dia ada kelajuan dan kualiti selain muncul penjaring terbanyak pasukan.

“Situasi sekarang saya tidak pasti bila dia akan pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan kembali bersama pasukan kerana khidmat penyerang begitu diperlukan lebih-lebih lagi saingan liga masih panjang.

“Sekarang sudah hampir enam bulan Mamut tidak boleh beraksi, jadi kami bayangkan perlu mencari penggantinya pada jendela perpidahan kedua nanti bagi memantapkan lagi pasukan, mungkin pemain tengah menyerang ataupun penyerang tulen,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, jurulatih yang lebih mesra dipanggil ‘Tommy’ itu akui sudah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan berhubung perkara itu.

“Tiga hari lalu saya sudah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan kerana kami mempunyai sasaran yang tinggi, jadi keputusan segera perlu dibuat, namun keputusan akhir belum dimuktamadkan lagi kerana saya sedar semuanya bergantung kepada kewangan kelab,” katanya.

Pada musim lalu, pemain yang baharu pertama kali mewarnai pentas Liga M berjaya menjaringkan 22 gol sepanjang 32 penampilannya bersama skuad Penyu itu.

Malah pemain berketinggian 1.92 meter antara watak penting pasukan sehingga berjaya membantu pasukan mara ke pentas final Piala Malaysia sebelum tumpas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-3.

Terdahulu penyerang tinggi lampai yang meledak 22 gol sepanjang 32 penampilannya bersama TFC pada musim lalu terpaksa berehat panjang akibat kecederaan tendon achilles pada kaki kirinya ketika menjalani latihan pramusim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top