TFC nafi dakwaan Adisak

TFC nafi dakwaan Adisak

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Pihak pengurusan Terengganu FC (TFC) menafikan kenyataan bekas pemain importnya, Adisak Kraison yang mendakwa tidak dibayar tunggakan gajinya sehingga enam angka.

Menerusi kenyataan media rasmi kelab hari ini, dakwaan dilontarkan penyerang import kelahiran Thailand itu tidak tepat.

Bagaimanapun pihak pengurusan skuad itu tidak menafikan berlakunya tunggakan gaji kepada pemain import itu bagi musim 2023.

“TFC menafikan mempunyai tunggakan gaji sehingga enam angka, namun begitu pihak kami mengakui masih belum menjelaskan tunggakan gaji pada Disember 2023 yang melibatkan hanya lima angka sahaja.

“Tahanan bayaran itu dibuat bagi memperhalusi pelbagai perkara melibatkan pemain dengan pihak ketiga seperti sewaan rumah, kenderaan dan hal-hal lain sebagaimana termaktub dalam kontrak.

“Tuntutan selebihnya adalah melibatkan pendahuluan diri, tiket penerbangan dan yuran tandatangan yang berjumlah lima angka sahaja. Ianya dalam kemampuan pihak TFC untuk menyelesaikannya,” demikian menurut kenyataan rasmi kelab itu.

Mengulas lanjut, pihak pengurusan kelab berkenaan mendedahkan TFC sudah mendapat surat mengenai tunggakan gaji itu daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangasa (FIFA).

“Pada 31 Ogos lalu, FIFA mengeluarkan surat arahan penyelesaian dalam tempoh 45 hari iaitu jangkaan sehingga 15 Oktober 2024. Kami sedia maklum dan tindakan penyelesaian akan dilakukan dalam tempoh masa diberikan, pada masa sama pihak kami sentiasa berhubung dengan pemain serta ejennya.

“Berdasarkan rekod, TFC tidak pernah dikenakan apa-apa tindakan serius daripada FIFA sebelum ini dan segala notis dan arahan sentiasa dipatuhi,” jelas kenyataan itu.

Terdahulu skuad yang kehilangan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner yang melepaskan jawatannya semalam berpotensi dikenakan sekatan perpindahan pemain oleh badan induk bola sepak dunia itu selepas Adisak mendakwa tidak menerima baki tunggakan gaji lebih enam angka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top