TFC perlu serius sambar Cheng Hoe

TFC perlu serius sambar Cheng Hoe

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Ketika Terengganu FC (TFC) sibuk membuat percaturan menggantikan pengendali baharu, wajarlah mereka memberi pertimbangan serius kepada bekas jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Lagipun Cheng Hoe adalah sasaran utama kelab itu ketika ini selepas jawatan ketua jurulatih pasukan kosong sejak minggu lalu.

Pandangan ini dilontarkan pemerhati bola sepak negara, Profesor Madya Dr Zulakbal Abdul Karim yang melihat pihak pengurusan tertinggi skuad Penyu itu perlu ‘merekrut’ jurulatih yang benar-benar berpengalaman itu ketika saat genting ini.

“Dalam pada TFC merencana untuk memilih ketua jurulatih baharu, saya berpandangan pertimbangan yang serius harus terarah kepada sosok Cheng Hoe.

“Ini adalah kerana pengalaman jurulatih kelahiran Kedah itu di peringkat tinggi yang ada padanya sangatlah di perlukan oleh skuad Penyu dalam saat sukar sebegini.

“Pihak pengurusan TFC tidak boleh membuat perkiraan menukar jurulatih baharu dengan sentimen penyokong dan peminat semata-mata, sebaliknya perlu meneliti kepada data dan rekod lampau bekas pengendali Harimau Malaya itu.

“Ini kerana beliau sudah membuktikan kemampuannya selain berkelayakan dan pernah lulus ujian getir sepak terajang bola sepak tempatan apabila berjaya membimbing pasukan kedah dan Malaysia sebelum ini.

“Bagi saya sayang jika pihak pengurusan TFC tidak mempertimbangkan idea jurulatih itu untuk mengambil alih tugas yang berat dan mencabar ini lebih-lebih lagi saya difahamkan skuad itu kini sedang mengintai jurulatih itu,” ujarnya kepada NSTP.

Terdahulu menurut sumber daripada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Cheng Hoe adalah calon utama pihak pengurusan TFC untuk membimbing pasukan itu selain Nafuzi Zain, Hairuddin Omar, Tengku Hazman Raja Hassan dan E Elavarasan.

Semalam Kelab Penyokong Bola Sepak TFC menyambut baik cadangan pihak pengurusan TFC mengambil Cheng Hoe sebagai pengendali baharu pasukan bagi menggantikan jurulatih sebelum ini, Badrul Afzan Razali yang direhatkan serta-merta bermula Khamis minggu lalu biarpun kedudukan pasukan tidaklah teruk.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top