sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) tidak berhasrat untuk memenuhi kuota 15 pemain import sebagaimana yang dibenarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) pada musim 2025/2026.
Sebaliknya skuad yang menamatkan saingan Liga Super di tempat kelima pada saingan 2024/2025 itu mahu ‘merekrut’ hanya tiga atau empat pemain import sahaja pada musim baharu nanti.
Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, pengurangan pemain import itu berbanding musim lalu adalah disebabkan faktor kewangan kelab.
“Dalam mesyuarat ahli lembaga TFC sebelum ini, kita mungkin akan kurangkan pengambilan pemain import disebabkan kekangan kewangan kelab pada musim ini.
“Berdasarkan perbincangan, kita tidak dapat menyahut untuk mengikat 15 pemain import sebagaimana yang dibenarkan MFL pada musim ini, sebaliknya kami bercadang untuk mengikat antara tiga atau empat pemain import sahaja.
“Manakala posisi pemain import berkenaan masih belum dibincangkan lagi, namun kebiasaannya posisi serangan, tengah dan pertahanan.
“Ini kerana kita lebih kepada pembangunan pemain muda yang kita fikirkan mampu meningkatkan prestasi pasukan dari semasa ke semasa dan pada masa sama wujud kebimbangan tidak dapat membayar gaji pemain import jika kita ambil terlalu ramai.
Beliau berkata, demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Memperkenal Pemain Sepaktakraw Terengganu Turtles dan Penajaan di sebuah hotel, dekat sini, petang ini.
Pada musim 2024/2025, skuad kendalian Badrul Afzan Razali yang mengambil alih tugas daripada pengendali terdahulu, Tomislav Steinbruckner bermula Oktober tahun lalu menyenaraikan enam pemain import.
Bagaimanapun musim baharu nanti, juara Piala Malaysia musim 2001 itu hanya mengekalkan seorang pemain importnya kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov manakala lima lagi digugurkan.
Selain penyerang import kelahiran El Salvador, Nelson Bonilla, turut disingkirkan daripada skuad itu dua lagi penyerang, Ivan Mamut dan Ismaheel Akinade serta pemain pertahanan, Argzim Redzovic dan pemain tengah, Manuel Ott.
© New Straits Times Press (M) Bhd