
Pemangku Ketua Jurulatih, Tengku Hazman Raja Hassan
KUALA NERUS – Pasukan Terengganu FC (TFC) bakal berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) tanpa sembilan tonggak utama, pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam esok.
Pemangku Ketua Jurulatih, Tengku Hazman Raja Hassan berkata, tiga daripada pemain tidak dapat diturunkan kerana digantung perlawanan, empat dibelenggu masalah kecederaan manakala dua lagi terikat dengan perjanjian selaku pemain pinjaman skuad Harimau Selatan.
Pengendali kelahiran Kelantan itu berkata ketiadaan pemain berpengalaman pastinya menjejaskan perancangan skuad Penyu, selain menyukarkan lagi tugas pasukan untuk berhadapan skuad bimbingan Xisco Munoz.
“Pemain pertahanan Alif (Zakaria), Saiful (Jamaluddin) dan Safwan (Mazlan) digantung satu perlawanan Akhyar (Rashid), Baqiuddin (Shamsuddin) pula cedera, manakala Shervoni (Mabatshoyev) pula cedera selepas pulang daripada menyertai kem nasional negaranya tempoh hari. Yan Mabella pula sudah menyertai latihan bersama pasukan, tetapi belum cergas sepenuhnya untuk diturunkan.
“Haqimi (Azim Rosli) dan Azam (Azmi) pula terikat dengan perjanjian dengan JDT. Tetapi kita dah hantar surat kepada mereka untuk dapatkan kebenaran bermain Sabtu ini, memandangkan ramai yang tidak dapat diturunkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun Tengku Hazman berkata, beliau tidak akan sesekali menampilkan corak permainan bertahan dalam menghadapi cabaran juara 12 kali berturut-turut Liga Super.
Justeru, beliau mengingatkan anak buahnya supaya lebih fokus, tidak membuat kesilapan mudah dan mengikut perancangan yang diatur bagi mengelak dibolosi pihak lawan.
“Dengan pemain yang ada kami akan cuba sehabis baik untuk sekurang-kurangnya tidak dibolosi dengan banyak (0-5) seperti perlawanan pusingan pertama di Gong Badak tahun lepas.
“Setelah bercuti panjang saya harap pemain dapat memberi persembahan terbaik. Elak bolos awal dan kesilapan mudah yang boleh menyebabkan kita dihukum pihak lawan,” katanya. – Bernama


