sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Misi wajib menang.
Ini laungan ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali menjelang pertemuan hidup mati dengan kelab Indonesia, PSM Makassar FC dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak, pada malam esok.
Jelas jurulatih muda itu, pasukannya tiada pilihan kecuali mengutip tiga mata penuh untuk mengintai peluang melangkah ke peringkat separuh akhir bagi merebut Piala Shopee itu, jika tewas skuad itu boleh melupakan impian itu.
Namun bekas ‘arkitek’ Terengganu itu berkata, kehadiran semula kapten, Safawi Rasid dan pertahanan kanan, Muhammad Azam Azmi Murad bakal menambah lagi sengat dan kekuatan pasukannya berdepan pendahulu Kumpulan A itu biarpun masih tidak dapat menyenaraikan penyerang import, Ivan Mamut.
Bagaimanapun jurulatih itu mengingatkan anak buahnya agar berwaspada dengan taktikal pasukan lawan yang pastinya hadir untuk memburu kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan di tangga teratas kumpulan.
“Persiapan pasukan berjalan seperti biasa dengan kehadiran semula Safawi dan Azam Azmi yang sebelum ini terpaksa diketepikan ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia, Jumaat lalu.
“Namun ada sedikit perubahan dalam kesebelasan utama kerana kita rancang untuk memburu jaringan awal bagi memastikan pemain terus memberikan tekanan kepada pasukan pelawat.
“Pada masa sama saya ingatkan semua pemain terutama pertahanan agar tidak leka sepanjang perlawanan bagi mengelak situasi sama melepaskan jaringan kepada JDT pada penghujung perlawanan tempoh hari tidak berulang.
“Manfaat peluang untuk mengutip tiga mata beraksi di tempat sendiri selepas gagal melakukannya dalam dua perlawanan terdahulu ketika berdepan kelab Kemboja dan Vietnam,” ujarnya ketika ditemui ketika sidang media di SSMZA, hari ini.
Sementara itu pemain tengah, Manuel Ott mengharapkan rakan sepasukannya dapat melupakan kekalahan 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) tempoh hari sebaliknya bangkit memburu kemenangan dalam perlawanan penting itu.
“Beraksi di tempat sendiri sudah pasti memberikan kelebihan kepada kami, tapi ini bukan jaminan untuk pasukan meraih tiga mata dalam perlawanan keempat peringkat kumpulan itu.
“Jadi saya pesan kepada diri dan rakan sepasukan agar bermain bermati-matian sehingga wisel terakhir ditiupkan pengadil bagi memastikan peluang untuk mara ke separuh akhir cerah sebelum berdepan kelab Thailand, BG Pathun di tempat lawan pada 5 Februari depan,” katanya.
Berdasarkan kedudukan terkini, skuad Penyu menghuni di tangga keempat kumpulan dengan mengutip empat mata selepas tiga perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
