Putrajaya: Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan inisiatif Haji Lestari bagi musim haji 1447H/2026 sebagai usaha memupuk budaya sifar sisa dalam kalangan jemaah menerusi pengurusan dan kitar semula kain ihram terpakai.
Inisiatif itu dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan inisiatif berkenaan selaras dengan tuntutan maqasid syariah dalam memperkasakan usaha memelihara serta memulihara alam sekitar, selain meningkatkan kesedaran jemaah terhadap tanggungjawab bersama untuk menjayakan ibadah haji yang lebih bersih dan lestari.
Zulkifli berkata kain ihram yang digunakan jemaah lazimnya hanya disimpan atau dibuang selepas musim haji.
“Melalui inisiatif ini, tekstil terbiar dapat dimanfaatkan semula untuk masyarakat dan alam sekitar, di samping meningkatkan kesedaran jemaah haji terhadap tanggungjawab bersama bagi menjayakan haji yang lebih bersih serta lestari,” katanya pada Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini hari ini.
Zulkifli berkata inisiatif Haji Lestari akan dilaksanakan melalui dua fasa, iaitu di Tanah Suci dan tanah air.
Katanya lokasi pengumpulan disediakan di penginapan di Makkah dan Mina bagi memudahkan jemaah menyumbang kain ihram mereka yang tidak dicadang untuk dibawa pulang bagi tujuan kitar semula.
Bagi pelaksanaan di tanah air, ia melibatkan inisiatif kitar tinggi atau upcycle dengan kain ihram yang dikumpul akan diproses bagi penghasilan beberapa produk baharu.
Jemaah haji dan umrah yang ingin menyumbang kain ihram terpakai boleh hadir ke pejabat cawangan TH terpilih di setiap negeri untuk menyerahkannya bermula Oktober 2026.
Zulkifli berkata pada masa hadapan, program itu dijangka diperluaskan kepada pengumpulan barangan lain seperti tuala, beg dan pakaian, sekali gus mentransformasikan bahan terpakai daripada sisa kepada manfaat yang lebih bermakna kepada masyarakat dan alam sekitar.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan jemaah supaya sentiasa berwaspada terhadap perkembangan semasa termasuk situasi geopolitik di rantau Asia Barat serta mematuhi segala arahan yang ditetapkan oleh TH sepanjang berada di Tanah Suci.
Beliau berkata kerajaan Malaysia dan TH sentiasa memantau perkembangan semasa serta bekerjasama rapat dengan Kerajaan Arab Saudi yang telah memberi jaminan keselamatan dan kebajikan jemaah haji sentiasa terpelihara.
Zulkifli berkata kesemua 31,600 bakal haji Malaysia sedang mempersiapkan diri untuk fasa bimbingan akhir menerusi Kursus Perdana Haji yang diadakan secara berperingkat di masjid-masjid terpilih seluruh negara bermula semalam hingga 12 April ini.
“Alhamdulillah, melalui Kursus Perdana ini, TH dapat mempersiapkan bakal haji dari aspek mental, fizikal dan kefahaman menerusi modul praktikal manasik haji seperti tawaf, sai dan melontar jamrah dengan jumlah jemaah yang ramai, agar ia memberi gambaran suasana yang menghampiri keadaan di Tanah Suci,” katanya.
Penerbangan kumpulan jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci dijadualkan bermula 18 April hingga 20 Mei ini, manakala penerbangan pulang dari 4 hingga 30 Jun ini melibatkan 100 penerbangan sewa khas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




