PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) melakar kejayaan dengan penerimaan Anugerah Platinum menerusi inisiatif Proses Pengurusan Pasport Jemaah Haji Malaysia sempena Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) 2026 anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), baru-baru ini.
Pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan TH dalam melaksanakan transformasi penyampaian perkhidmatan yang lebih mudah, ringkas dan lancar kepada bakal haji melalui penambahbaikan proses pengurusan pasport dengan menyasarkan penghapusan tempoh pegangan pasport oleh TH sebelum berangkat ke Tanah Suci mulai Musim Haji 1448H/2027M.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, inisiatif itu memberikan lebih fleksibiliti kepada bakal haji untuk menguruskan keperluan peribadi dan pekerjaan sepanjang tempoh persediaan haji tanpa perlu memohon pemulangan sementara pasport daripada TH.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Sebelum ini, tempoh pegangan pasport bakal haji oleh TH adalah sehingga 103 hari. Menerusi projek rintis yang dilaksanakan pada musim haji lalu, tempoh tersebut telah berjaya dikurangkan kepada 56 hari.
“Pelaksanaan penuh pada Musim Haji 1448H/2027M akan menjadikan tempoh pegangan pasport oleh TH sebelum hari berlepas kepada sifar hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
TH merupakan antara 52 penerima anugerah platinum daripada keseluruhan 159 projek yang dibentangkan pada persidangan tersebut.
TH juga merupakan antara wakil daripada keseluruhan enam agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menyertai persidangan berkenaan.
Persidangan yang berlangsung pada 28 dan 29 Oktober lalu di Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam ini menghimpunkan wakil daripada 28 kementerian dan 14 kerajaan negeri, termasuk agensi serta pihak berkuasa tempatan.
Menerusi proses baharu itu, Mustakim berkata, pasport hanya diserahkan untuk pengesahan dan urusan perlepasan pada hari berlepas.
“Penambahbaikan tersebut akan turut mengurangkan titik sentuh pengendalian pasport daripada lima kepada dua, sekali gus mengurangkan pengendalian fizikal dan semakan berulang.
“Kaedah pengesahan biodata pasport secara digital serta pengurusan visa secara elektronik dapat mengurangkan keperluan bakal haji melakukan perjalanan tambahan untuk menyerahkan dan mengambil semula pasport serta meningkatkan kecekapan operasi TH,” katanya. -UTUSAN




