TH umum dividen 3.5 peratus, agihan tertinggi dalam tempoh 8 tahun

TH umum dividen 3.5 peratus, agihan tertinggi dalam tempoh 8 tahun

LEMBAGA Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, lebih tinggi berbanding 3.25 peratus bagi tahun 2024.

Tabung Haji dalam kenyataan memaklumkan agihan tersebut melibatkan keseluruhan sebanyak RM3.22 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit di seluruh negara.

“Agihan keuntungan tersebut ditetapkan selepas mengambil kira zakat sebanyak 2.577 peratus berjumlah RM95.3 juta bagi pihak pendeposit kepada Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN).

“Agihan ini dibuat selaras dengan Akta Tabung Haji 1995, selepas penyata kewangan TH bagi tahun 2025 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara,” katanya pada Rabu.

Agihan keuntungan Tabung Haji menunjukkan peningkatan dalam tempoh lapan tahun.

Agihan keuntungan Tabung Haji menunjukkan peningkatan dalam tempoh lapan tahun.

Menurut kenyataan itu, pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula jam 10 pagi pada Khamis.

“Semakan boleh dibuat melalui platform THiJARI, kaunter Tabung Haji, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat serta melalui saluran elektronik rakan strategik perbankan TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic,” katanya.

Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, keputusan tahun 2025 merupakan prestasi kewangan terbaik dalam tempoh lapan tahun, sekali gus membuktikan keberkesanan strategi pelaburan yang berdisiplin serta rangka kerja tadbir urus yang diperkukuh.

“Alhamdulillah, Tabung Haji terus memberikan pulangan yang mampan kepada para pendeposit sambil memperkukuh kerangka kewangannya.

“Kedudukan kunci kira-kira yang semakin mantap mencerminkan pengurusan kewangan yang berdisiplin, tadbir urus yang lebih cekap serta portfolio pelaburan yang kukuh,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa dalam suasana global yang semakin tidak menentu, TH kekal fokus melindungi simpanan pendeposit sambil memastikan pulangan yang kompetitif dan mampan.

Dalam perkembangan lain, TH turut mencatat jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM4.64 bilion pada tahun lalu, berbanding RM4.56 bilion pada tahun 2024.

Tambah kenyataan itu, aset pelaburan meningkat daripada RM95.06 bilion kepada RM96.37 bilion, mencerminkan pertumbuhan portfolio berterusan dengan mengekalkan struktur alokasi aset yang seimbang.

Dari segi prestasi pelaburan, Tabung Haji memaklumkan ekuiti persendirian mencatat pulangan pelaburan (ROI) tertinggi sebanyak 8.29 peratus, mencerminkan aktiviti yang kukuh sepanjang tahun.

“Ekuiti luar negara pula merekodkan ROI sebanyak 7.03 peratus, manakala ekuiti domestik mencatatkan 5.47 peratus.

“Selain itu, hartanah memberikan ROI yang stabil sebanyak 5.03 peratus, manakala pendapatan tetap mencatat 4.41 peratus, selaras dengan pulangan bagi kelas aset tersebut.

“Pasaran wang pula mencatatkan ROI sebanyak 3.95 peratus, agak sederhana dan seiring dengan kadar dasar yang lebih rendah,” kata kenyataan itu.

Ringkasan AI

  • LEMBAGA Tabung Haji mengumumkan agihan keuntungan 3.5 peratus untuk tahun kewangan 2025
  • Agihan ini melibatkan jumlah RM3.22 bilion yang memberi manfaat kepada 9.7 juta pendeposit
  • Pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun mereka melalui platform THiJARI dan kaunter-kaunter yang tertentu
  • Prestasi kewangan tahun 2025 merupakan yang terbaik dalam tempoh lapan tahun menurut Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain
  • TH mencatat jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM4.64 bilion pada tahun lalu
Scroll to Top