Thailand, Kemboja bincang perkukuh kerjasama, erat hubungan kawasan sempadan

Thailand, Kemboja bincang perkukuh kerjasama, erat hubungan kawasan sempadan

Bangkok: Thailand dan Kemboja mengadakan Mesyuarat Sekretariat Jawatankuasa Khas Sempadan Serantau (RBC) pada Ahad bagi memperkukuh kerjasama dan mengeratkan hubungan di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Mesyuarat yang berlangsung di Wilayah Pailin, Kemboja itu dihadiri oleh wakil Markas Pertahanan Sempadan Chanthaburi-Trat (CTBDC) Tentera Laut Diraja Thailand serta Wilayah Tentera 5 Tentera Diraja Kemboja.

Tentera Laut Diraja Thailand dalam kenyataan ringkas di laman rasmi Facebook berkata, delegasi Thailand diketuai Ketua Turus CTBDC merangkap Setiausaha Jawatankuasa, Kapten Udom Kulsiripanyo.

Pihak Kemboja pula diketuai Timbalan Komander Wilayah Tentera 5 merangkap Setiausaha Jawatankuasa, Mejar Jeneral Sor Kimpak, yang turut mempengerusikan bersama sesi itu.

“Dalam mesyuarat berkenaan, kedua-dua pihak membincangkan langkah untuk memperkukuh kerjasama, memperdalam persefahaman bersama serta menangani cabaran di kawasan sempadan.

“Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan keamanan, memastikan keselamatan dan memupuk hubungan baik antara Thailand dan Kemboja,” menurut kenyataan pada Ahad itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top