Thailand, Kemboja setuju undur tentera di sempadan – PM Anwar

Thailand, Kemboja setuju undur tentera di sempadan – PM Anwar

hifzuddin@bh.com.my

Jitra: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Thailand dan Kemboja setuju mengundurkan tentera negara masing-masing daripada kawasan sempadan yang menyaksikan pertempuran sebelum ini.

Anwar berkata, beliau berkesempatan berhubung melalui telefon bersama pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, agar masalah antara kedua negara diselesaikan melalui rundingan.

Katanya, antara permintaan Malaysia adalah kedua-dua pasukan tentera negara melakukan gencatan senjata dan segera berundur daripada sempadan bagi mengelak ketegangan lebih serius.

“Semalam saya dapat bicara bersama pemangku Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Kemboja (mengenai konflik antara negara) kerana kedudukan Malaysia dan hormat mereka kepada kita.

“Saya beri pandangan dan kata ‘Please Mr Prime Minister, on behalf your friend in Malaysia, please stop and immediate cease power’ (Tolong Tuan Perdana Menteri, bagi pihak rakan di Malaysia, tolong berhenti dan segerakan gencatan),” katanya ketika berucap pada Program Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2025 di sini, hari ini.

Anwar berkata, dalam perbualan panjang itu, pemimpin dua negara berkenaan setuju melakukan gencatan senjata dan mengarahkan tentera mereka di sempadan berundur.

“Mereka setuju tapi ada meminta masa sebab dia kata tentera sudah ada di sempadan, maka mereka harus ada sedikit waktu untuk menggerakkan tentera keluar.

“(Keputusan) ini saya syukur kerana apabila saya bicara bersama mereka, keduanya sambut baik dengan hormat. Sebab apa? Sebab Malaysia negara aman dan stabil,” katanya.

Terdahulu, Tentera Thailand mendakwa seramai sembilan orang awam terbunuh dan 14 lagi cedera dalam serangan artileri yang didakwa dilakukan tentera Kemboja pagi tadi.

Kemboja menafikan dakwaan berkenaan, menegaskan pasukan mereka hanya bertindak balas selepas diserang terlebih dahulu oleh tentera Thailand.

Insiden berlaku selepas Thailand mengerahkan jet pejuang F-16 menyerang sasaran ketenteraan di wilayah Kemboja, menjadikan konflik sempadan yang berlarutan sejak Mei lalu kini memasuki fasa paling tegang sejak 2011.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top