
Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha (kiri), dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit (kanan), berjabat tangan selepas bertukar dokumen Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara semasa Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) di Wisma Perwira, pada Khamis. Foto Bernama
KUALA LUMPUR – Thailand dan Kemboja bersetuju untuk mematuhi gencatan senjata dengan teguh di sepanjang sempadan bersama mereka, dengan kedua-dua pihak mengekalkan kedudukan anggota tentera sedia ada serta tidak menambah kekuatan ketenteraan.
Menurut Minit Persetujuan Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan AM (GBC) yang dikeluarkan selepas mesyuarat luar biasa GBC di sini pada Khamis, kedua-dua pihak juga perlu mengelak daripada melepaskan tembakan secara provokatif ke arah kedudukan atau pasukan lawan yang boleh mencetuskan ketegangan.
“Semasa mesyuarat, kedua-dua negara berjiran itu turut bersetuju melaksanakan gencatan senjata membabitkan semua jenis senjata, termasuk serangan ke atas orang awam, objek awam dan sasaran ketenteraan masing-masing.
“Thailand dan Kemboja juga bersetuju untuk tidak membina atau menambah baik sebarang infrastruktur ketenteraan atau kubu pertahanan melepasi kawasan masing-masing, serta tidak menggunakan sebarang bentuk kekerasan terhadap orang awam dan objek awam dalam apa jua keadaan,” menurut minit persetujuan itu.
Mesyuarat Luar Biasa GBC yang berlangsung di Wisma Perwira pada Khamis dipengerusikan secara bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narphanit.
Turut hadir sebagai pemerhati ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar; Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D Kagan dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
AKAN MENYUSUL