Thailand siasat kekurangan 57 juta liter bahan api disyaki disorok

Thailand siasat kekurangan 57 juta liter bahan api disyaki disorok

BANGKOK – Pihak berkuasa Thailand melancarkan siasatan di seluruh negara terhadap kegiatan penyorokan bahan api secara haram selepas mengesan kekurangan sebanyak 57 juta liter dalam penghantaran minyak ke wilayah Surat Thani pada awal bulan ini.

Menteri Kehakiman Leftenan Jeneral Polis Rutthaphon Naowarat berkata, pemeriksaan sedang dijalankan di stesen-stesen minyak oleh Polis Diraja Thailand dan Jabatan Pentadbiran Wilayah, dengan pemeriksaan turut diperluas hingga ke depot bahan api.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan Khas (DSI) turut ditugaskan meneliti rantaian bekalan dari kilang penapisan hingga ke stesen minyak.

“Berhubung kekurangan di Surat Thani, siasatan mendapati bahawa kapal tangki minyak mengangkut bahan api dari sebuah depot ke enam kemudahan penyimpanan di wilayah itu menerusi 96 perjalanan.

“Secara keseluruhan, 217 juta liter dihantar, namun hanya 160 juta liter sampai ke destinasi, menyebabkan 57 juta liter tidak dapat dikesan semasa transit,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Rutthaphon berkata, kes itu akan diklasifikasikan sebagai siasatan khas, dengan tumpuan diberikan kepada kemungkinan berlaku ketidakwajaran dalam pemindahan melalui laluan laut.

“Pihak berkuasa akan meneliti paras inventori serta kelewatan pengangkutan yang melebihi tempoh munasabah. DSI akan memanggil individu terlibat untuk disoal siasat dan mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Anutin Charnvirakul berkata, kerajaan sedang meningkatkan usaha bagi mencegah kekurangan bahan api, termasuk mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan penyorokan dan pengalihan minyak secara haram daripada sistem domestik.

Beliau berkata, semua agensi berkaitan telah diarahkan supaya bertindak tegas terhadap pesalah tanpa mengira kedudukan atau pengaruh mereka.

“Kementerian Kehakiman melalui DSI sedang bekerjasama dengan agensi termasuk Polis Diraja Thailand dan Jabatan Perniagaan Tenaga untuk memeriksa pedagang bahan api berskala besar dan sederhana,” katanya.

Anutin berkata, kegiatan berkenaan merupakan pencatutan ketika krisis, sekali gus memaksa kerajaan meningkatkan subsidi daripada Dana Bahan Api Minyak bagi menstabilkan harga runcit.

“Setakat ini, dana itu telah mencatatkan kerugian melebihi 50 bilion baht (RM6.1 bilion). Niat kerajaan adalah untuk menyokong pengguna Thailand, bukannya membolehkan penyorokan atau eksport haram.

“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa mengutamakan rakyat dan akan terus berbuat demikian,” katanya.

Tinjauan di sebuah stesen minyak Bangchak Corporation pada Jumaat menunjukkan harga Gasohol 95 ialah 43.95 baht (RM5.43) seliter, Gasohol 91 pada 43.58 baht (RM5.39), dan Diesel B7 pada 47.74 baht (RM5.90).

 

 

TAG: Thailand, kekurangan, minyak, Anutin Charnvirakul, DSI, penyorokan

 

 

Scroll to Top