BANGKOK: Thailand sedang pertimbang untuk meluaskan ruang penjara bagi menempatkan banduan politik, kata Menteri Kehakiman, Somsak Thepsuthin semalam.
Thepsuthin berkata, Penjara Bangkok Remand dan Penjara Klong Prem Tengah yang sejak kebelakangan ini dijadikan tempat tahanan banduan politik bertukar sesak ketika lawatan ahli keluarga serta penyokong.
“Bagaimanapun, kita sedang berbincang untuk mencari kawasan lebih luas yang boleh menempatkan lebih ramai orang untuk keselesaan semua,” katanya kepada pemberita.
Thepsuthin turut menafikan khabar angin bahawa kerajaan membina penjara berasingan baharu khas untuk banduan politik, lapor agensi berita CNA.
“Sesiapa sahaja sepatutnya dilayan dengan adil,” katanya
Kumpulan Peguam Thailand untuk Hak Asasi Manusia baru-baru ini mendakwa, sekurang-kurangnya 382 orang termasuk 13 kanak-kanak bawah umur menghadapi tuduhan berkaitan demonstrasi politik dan menyuarakan pandangan politik pada Julai 2020 sehingga hujung bulan lalu.
Seorang pelajar yang memimpin gerakan pro demokrasi yang berlangsung tahun lalu dan mendesak Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha dan barisan Jemaah Menteri meletak jawatan, meminda perlembagaan untuk menjadikan ia lebih demokratik dan melakukan reformasi monarki supaya lebih bertanggungjawab.
Apabila penunjuk perasaan menjadi lebih kritikal terhadap monarki, pihak berkuasa mengambil tindakan dengan mendakwa aktivis.
Lebih 60 individu yang disenaraikan oleh kumpulan Peguam Thailand untuk Hak Asasi Manusia didakwa mengikut undang-undang lese majeste, yang membawa kepada fitnah monarki dan boleh dipenjara seingga 15 tahun bagi satu insiden.
Rabu lalu, Mahkamah Jenayah menjatuhkan hukuman penjara ke atas seorang pemuda berusia 22 tahun selama empat tahun setengah kerana melanggar Akta Jenayah Komputer apabila didapati menghasilkan beberapa akaun Facebook yang digunakan untuk membuat hantaran mengkritik sistem beraja pada April 2020.
Pemuda yang bekerja sebagai pelayan itu, hukumannya dikurangkan kepada empat tahun setengah dari sembilan tahun kerana dia mengakui salah. Ia adalah amalan biasa di mahkamah Thailand.
Mengikut laman web Jabatan Pembetulan, Penjara Bangkok Remand mempunyai seramai 3,195 banduan manakala Penjara Klong Prem Tengah menampung 7,009 penghuni. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd