
Kedua-dua pemimpin berpengaruh di Asia Tenggara ini pernah menjadi sekutu rapat sebelum hubungan mereka berantakan, baru-baru ini.
BANGKOK – Presiden Senat Kemboja, Hun Sen akhirnya membongkar ‘pengkhianatan’ bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang merupakan sekutu rapatnya sebelum ini.
Pendedahan itu dibuat menerusi siaran langsung di Facebook pada Jumaat, sehari selepas pemimpin berpengaruh tersebut memberi amaran untuk membuka mulut tentang kontroversi keluarga Shinawatra, di tengah-tengah ketegangan yang kian meningkat antara Phnom Penh dan Bangkok.
“Masanya sudah tiba. Mereka telah khianati saya,” kata Hun Sen sambil menambah butiran lanjut akan dikongsikan dengan diplomat yang dijadualkan bertemu dengannya.
Menerusi siaran langsung itu, beliau menyebut tentang insiden kebocoran klip audio panggilan telefon bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra yang menurutnya dirakam dengan sengaja.
“Saya merekodkan perbualan itu kerana saya pernah dikhianati sebelum ini,” ujarnya yang turut Paetongtarn yang kini berdepan desakan supaya meletak jawatan telah menipunya.
Hun Sen berkata, Paetongtarn beri alasan kepada semua pihak kononnya ia sebahagian daripada taktik rundingan.
“Thaksin gagal menerapkan nilai yang baik kepada anaknya. Pada 14 Jun lalu, saya ‘diserang’ oleh beliau manakala anak perempuannya tidak menghormati tentera sendiri dan monarki.
“Anda tidak boleh melakukan penghinaan sama terhadap saya. Ia tidak akan berjaya,” tambahnya.
Meskipun ada pihak yang mempersoalkan tindakannya merakam perbualan itu, Hun Sen menegaskan tiada undang-undang yang melarangnya berbuat demikian.
“Kenapa PM Thailand gusar dengan kebocoran klip audio tersebut? Sila teruskan, jika anda mahu membawa perkara ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Failkan 5,000 aduan sekali pun, saya tidak peduli,” sindirnya.
Hun Sen turut mengkritik kepimpinan Paetongtarn kerana menggunakan serbuan ke atas pusat panggilan scammer untuk melancarkan permusuhan dan tindakan kekerasan di sempadan.
“Anda jadikan operasi ke atas pusat scammer untuk menutup sempadan bermula 7 Jun lalu dan melanjutkan tempoh tersebut. Kami pernah maklumkan usaha menumpaskan sindiket itu memerlukan kerjasama Thailand, namun anda gunakan isu tersebut untuk menyerang Kemboja,” tegasnya lagi yang turut melemparkan tuduhan bahawa Bangkok sebenarnya menyokong geng jenayah yang beroperasi di sempadan Myanmar-Laos. – Agensi