Thalita akui khilaf isu gaun tunjuk bahu – “Doakan saya berpakaian sopan, bertudung”

Thalita akui khilaf isu gaun tunjuk bahu – “Doakan saya berpakaian sopan, bertudung”

Penyanyi muda, Thalita akhirnya membuka mulut mengenai penampilannya yang dianggap mencolok mata ketika menghadiri majlis ‘gender reveal’ awal Februari lalu.

Doakan saya berpakaian lebih sopan

Thalita Doakan saya berpakaian lebih sopan

Memetik laporan mStar, pemilik nama sebenar, Dzahira Talita Zahra Shahmira, 13, berkata dia menerima setiap teguran dengan hati terbuka dan menganggapnya sebagai pengajaran untuk memperbaiki diri.

“Saya mengambil iktibar dan berterima kasih kepada sesiapa yang tegur saya.
“Insya-Allah doakan saya supaya dapat berpakaian lebih sopan dan bertudung kelak,” kata Thalita di Auditorium Dewan Bandaraya Shah Alam (MBSA), pada malam Ahad.

Dalam pada itu, bapanya yang juga pelawak, Shuib menegaskan perkara sama tidak akan berulang. Malah, dia mengakui sudah menasihati anaknya sebaik sahaja kejadian tersebut berlaku.

“Insya-Allah tidak akan berulang lagi. Sebagai ayah sudah tentu saya sangat ambil berat. Pada hari kejadian saya sudah beri teguran.
“Saya jenis yang beri reaksi lembut, tapi ada tindakan berat selepas itu,” ujarnya.

Sementara itu, ibu tirinya, Watie Hanifiah, turut mengakui terdapat kekhilafan daripada pihak mereka dalam soal pemilihan busana berkenaan. Menurut Watie, dia yang menguruskan pakaian Thalita pada hari tersebut dan tidak menyalahkan pereka fesyen kerana rekaan itu dibuat atas permintaan mereka sendiri.

Tambahnya, dia juga menerima setiap teguran dengan hati terbuka termasuk nasihat daripada suaminya, sebelum menyampaikan perkara itu kepada Thalita sebagai pengajaran bersama.

“Daddy (panggilan Shuib) sudah tegur sebaik tiba di lokasi dan terkejut melihat pakaian tersebut. Namun teguran dibuat secara lembut kerana kami berada di acara dan tidak mahu mengganggu suasana.
“Bila balik ke rumah, Shuib beritahu tidak mahu Thalita memakai rekaan seperti itu lagi.
“Bila berdua dengan Thalita, saya beritahu daddy tegur tentang pakaiannya. Kami semua ambil iktibar daripada kejadian ini,” jelasnya.

Artikel lanjut: Watie buka mulut, perjelas isu Thalita pakai baju dedah bahu – “Bila halang akan memberontak”

Pada 1 Februari lalu, Thalita tampil anggun mengenakan gaun labuh rona merah jambu dengan potongan off-shoulder ketika menghadiri acara pengumuman jantina bayi tersebut.

Penampilan itu bagaimanapun mengundang kritikan warganet yang berharap ibu bapanya lebih peka dalam memantau oakaian penyanyi itu memandangkan usianya masih remaja.

Sumber: mStar (Maszuhaira Sarimin)

Scroll to Top