KUALA LUMPUR – The Asia Records menganjurkan malam pengiktirafan sulungnya di Diamond Ballroom, EQ Kuala Lumpur pada 13 Mac lalu, sekali gus menyaksikan pelancaran rasmi The Asia Records Book of Achievements 2025/26.
Majlis julung kali itu diadakan bagi meraikan kecemerlangan usahawan serantau selain mengiktiraf pemimpin serta organisasi yang berani mencabar kebiasaan dan memberi impak luar biasa dalam bidang masing-masing.
Pengasas dan Pengerusi Penganjur The Asia Records, Dato KK Chua berkata, pihaknya berbangga dengan sambutan yang diterima terhadap inisiatif tersebut.
Menurutnya, usaha itu bertujuan membina sebuah komuniti yang bukan sahaja mencipta impak, malah berani mencabar norma serta meninggalkan legasi berkekalan.
“Kami berhasrat membina sebuah komuniti yang mencipta impak, mencabar kebiasaan dan meninggalkan legasi yang berkekalan.
“Sambutan yang amat menggalakkan ini menunjukkan bahawa rantau ini dahagakan pengiktirafan yang sangat bermakna kepada pencapaian mereka,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kumpulan pemegang rekod tahun ini menampilkan nama-nama berpengaruh di peringkat global dan serantau merentasi pelbagai industri seperti Amazon, Starbucks, iQIYI dan Batik Air.
“Para penerima ini mewakili kepimpinan keusahawanan, inovasi dalam platform digital dan kandungan, kecemerlangan dalam industri penerbangan dan logistik, serta sumbangan korporat yang membentuk pasaran di seluruh Asia,” katanya lagi.
Dalam pada itu, The Asia Records Book of Achievements 2025/26 menjadi arkib rasmi pertama organisasi tersebut yang merekodkan pencapaian cemerlang, selain berfungsi sebagai penanda aras kepada pemimpin dan perusahaan masa hadapan.
Buku berkenaan turut bertujuan meningkatkan kredibiliti penerima, memudahkan pengiktirafan merentas sempadan serta memberi inspirasi kepada generasi baharu pencetus perubahan.
Pemilihan penerima dibuat melalui proses pencalonan terbuka, diikuti penilaian pakar berdasarkan kriteria telus merangkumi impak, inovasi, kebolehskalaan, kelestarian dan integriti.
Selain itu, proses pengesahan turut dijalankan oleh panel bebas dan jawatankuasa pemantau bagi memastikan kredibiliti serta ketelusan.
Untuk maklumat lanjut sila layari laman web: https://theasiarecords.com



